KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Malaysia menggesa semua negara agar segera mengiktiraf Negara Palestin dan menyokong usaha ke arah keanggotaan penuhnya dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sambil memberi amaran bahawa penyelesaian dua negara kini berada dalam ancaman serius.
“Pengiktirafan terhadap Negara Palestin merupakan langkah penting dalam usaha melindungi penyelesaian dua negara.
“Malaysia menghargai negara-negara yang telah membuat keputusan berani untuk mengiktiraf Palestin dan menggesa negara lain yang belum berbuat demikian agar segera mengambil langkah itu,” kata Wakil Tetap Malaysia ke PBB Datuk Dr Ahmad Faisal Muhamad.
Beliau berkata, Malaysia selaku Naib Pengerusi Jawatankuasa Mengenai Pelaksanaan Hak yang Tidak Terpisah Penduduk Palestin (CEIRPP) akan terus memperjuangkan pengiktirafan dan perwakilan penuh Palestin di PBB.
“Komuniti antarabangsa mesti mengambil semua langkah yang perlu bukan sekadar menyokong, tetapi menamatkan penjajahan Israel ke atas wilayah Palestin yang telah pun diisytihar menyalahi undang-undang oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa,” katanya.
Berucap pada Persidangan peringkat tinggi PBB mengenai penyelesaian aman isu Palestin pada Rabu, Faisal menyeru tindakan antarabangsa yang lebih tegas, termasuk sekatan untuk menghentikan penjajahan haram Israel dan pencabulan hak asasi manusia.
Beliau mencadangkan penubuhan rangka kerja sekatan PBB yang komprehensif merangkumi pembekalan senjata, pendatang haram, pertubuhan dan syarikat yang meraih keuntungan daripada penjajahan Israel.
“Sejak Disember 2023, Malaysia melarang kapal yang membawa bendera Israel dan kapal menuju ke Israel daripada berlabuh di pelabuhan-pelabuhan negara ini,” katanya sambil menggesa negara lain supaya melaksanakan langkah serupa.
Ahmad Faisal turut menyokong penubuhan misi pengaman atau perlindungan di bawah mandat PBB dengan persetujuan Palestin bagi memantau gencatan senjata, mengawasi pengunduran Israel serta menjamin keselamatan orang awam.
“Malaysia bersedia menyumbang anggota pengaman untuk menyokong misi seperti ini,” tegasnya.
Beliau turut mengulangi sokongan terhadap Pelan Pembinaan Semula Arab-OIC serta menawarkan kerjasama teknikal serta program pembinaan kapasiti Malaysia untuk memperkukuh institusi pentadbiran Palestin.
Ahmad Faisal menambah bahawa Malaysia akan menggalakkan penyertaan sektor swasta, institusi akademik dan masyarakat sivil bagi menyokong pembangunan Palestin melalui pendekatan seluruh negara (whole-of-nation).
Beliau turut mengecam usaha untuk melemahkan Agensi Bantuan dan Kerja PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA) serta tindakan mencemarkan nama baik pegawai PBB, sambil menegaskan komitmen berterusan Malaysia terhadap sokongan kewangan kepada agensi itu termasuk pertimbangan untuk perjanjian pembiayaan berbilang tahun.
“Penyelesaian dua negara adalah dan kekal sebagai satu-satunya penyelesaian yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Sudah tiba masanya untuk menamatkan ketidakadilan bersejarah dan menjijikkan ini,” katanya.
Persidangan yang berlangsung dari 28 hingga 30 Julai itu menghimpunkan pegawai kanan dari hampir 130 negara dan berakhir dengan penerimaan dua dokumen utama iaitu “Seruan New York Call” dan “Deklarasi New York” yang menyokong penyelesaian dua negara.
Amerika Syarikat (AS) dan Israel tidak menghadiri persidangan itu yang dipengerusikan bersama oleh Perancis dan Arab Saudi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial