Ad Banner
 AM > BERITA

Xtif Johor Diperkenal, Terap Budaya Sukan Sebagai Gaya Hidup Masyarakat

30/07/2025 06:17 PM

JOHOR BAHRU, 30 Julai (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor akan memperkenalkan kempen Xtif Johor dalam usaha untuk membudayakan sukan sebagai amalan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor Mohd Hairi Mad Shah berkata kempen berkenaan akan menyentuh beberapa elemen, termasuk institusi kekeluargaan, sekolah, agensi kerajaan dan sektor korporat.

Beliau berkata kempen itu dijangka dilancarkan oleh Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi pada Ogos ini.

"Perinciannya akan dikongsikan ketika majlis pelancaran berkenaan yang diadakan di daerah Mersing nanti," katanya pada sidang media selepas merasmikan Bank Rakyat Johor International Marathon (BRJIM) 2025 di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) Mohd Ekmaluddin Ishak dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat Ahmad Shahril Mohd Shariff.

Dalam pada itu, Mohd Hairi berkata BRJIM 2025 anjuran MSNJ bersama Bank Rakyat selaku penaja utama, dijangka menarik penyertaan lebih 8,000 pelari dari dalam dan luar negara. 

"Dengan ribuan penyertaan, saya yakin BRJIM 2025 bukan sahaja akan membawa nama Johor ke pentas dunia, malah mampu merancakkan ekonomi negeri melalui sektor pelancongan dan perkhidmatan," katanya.

Beliau berkata penganjurannya juga berupaya memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai hab sukan serantau selaras dengan aspirasi Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dalam merealisasikan visi Johor Sports Nation 2023.

Program yang turut mendapat kerjasama Perbadanan Stadium Johor itu akan diadakan pada 8 dan 9 Nov ini di Kota Jail, di sini yang menampilkan lima kategori larian, iaitu 42KM (maraton penuh) dan 21KM (separa maraton) yang terbuka kepada peserta berumur 18 tahun ke atas.

Kategori lain ialah 10KM bagi peserta berumur 16 tahun ke atas, 5KM bagi peserta berumur 13 tahun ke atas dan 2KM (Nuri Dash Run) bagi larian kanak-kanak berusia 10 hingga 12 tahun.

Pendaftaran boleh dilakukan menerusi laman web www.johorinternationalmarathon.com.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan