Ad Banner
 AM > BERITA

Pengorbanan Pahlawan Negara Bentuk Asas Keamanan, Kemakmuran – Fadillah

31/07/2025 09:51 AM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menzahirkan penghargaan tertinggi kepada pahlawan dan wira negara yang telah mempertaruhkan nyawa demi mempertahankan kedaulatan tanah air sejak era penjajahan sehingga ke hari ini.

Menerusi hantaran di Facebook sempena sambutan Hari Pahlawan 2025, Fadillah berkata tanggal 31 Julai setiap tahun merupakan manifestasi penghormatan tertinggi negara kepada anggota pasukan keselamatan dan pertahanan negara.

“Kita tidak akan pernah lupa bagaimana darah, keringat dan nyawa dipertaruhkan demi memastikan tanah air ini kekal merdeka, berdaulat dan aman.

“Daripada perjuangan menentang penjajah, ancaman komunis, sehingga ke operasi pengamanan di dalam dan luar negara, setiap langkah wira-wira negara ialah kisah keberanian yang tiada ternilai,” katanya. 

Beliau berkata pengorbanan anggota pasukan keselamatan dan pertahanan negara telah membentuk asas kepada keamanan dan kemakmuran yang telah dikecapi hari ini.

Fadillah turut merakamkan penghargaan kepada para anggota yang masih berkhidmat dan menyeru mereka terus menjunjung amanah dengan penuh rasa tanggungjawab dan semangat cintakan tanah air.

“Negara yang merdeka dan berdaulat ini tidak akan dapat kita kecapi tanpa semangat juang, disiplin dan kesetiaan wira-wira negara. Terima kasih, perwira negara. Malaysia tetap utuh kerana pengorbanan kalian semua.

“Buat para pahlawan yang telah pergi, doa kami sentiasa mengiringi. Berjuang di medan tempur, demi negara mereka jujur dan akur. Semoga semangat perjuangan dan cinta kepada tanah air terus mekar di jiwa rakyat Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan