Ad Banner
 AM > BERITA

RMK13 Dorong Kesejahteraan Dan Mobiliti Sosial Golongan Sasar

31/07/2025 05:47 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Akses kepada pekerjaan, pendidikan dan kemudahan awam terhadap golongan Orang Kurang Upaya (OKU) terus menjadi keutamaan dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Menurut dokumen RMK13 dikeluarkan Kementerian Ekonomi hari ini, kerajaan menetapkan sasaran penyertaan sekurang-kurangnya satu peratus daripada golongan OKU dalam sektor perkhidmatan awam menjelang 2030, seiring usaha mewujudkan pembangunan lebih inklusif dan saksama.

"Kerajaan juga akan memperluas Program Kerjaya Terlindung bersama pihak swasta bagi menyediakan penempatan latihan industri kepada golongan tersebut, sekali gus membantu mereka mengembangkan kemahiran dan menjana pendapatan," menurut kenyataan itu.

Selain itu, kerajaan turut merancang penyediaan kemudahan awam mesra OKU menerusi penguatkuasaan Garis Panduan Perancangan Reka Bentuk Sejagat (Universal Design) manakala garis panduan penarafan bintang yang seragam oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) akan dibangunkan.

Pada masa sama, RMK13 turut menitikberatkan kesejahteraan dan mobiliti sosial golongan sasar seperti kanak-kanak dengan memperkukuh tadbir urus, pemakanan, pendidikan dan perlindungan sosial secara menyeluruh bagi memastikan mereka membesar dalam keadaan sihat, selamat dan bermaruah.

"Inisiatif 1,000 Hari Pertama Kehidupan Anak akan diperkukuh bagi memastikan perkembangan fizikal dan kognitif kanak-kanak sejak dalam kandungan manakala pelaksanaan Pelan Strategik Kebangsaan Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan Kanak-Kanak 2023–2030 turut dipergiat," menurut dokumen itu.

Perlindungan menyeluruh ke atas kanak-kanak terhadap pengabaian, eksploitasi dan penderaan juga akan diperketat menerusi penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 (Akta 854), selari dengan usaha meneroka dasar baharu berkaitan had umur penggunaan gajet bagi melindungi kesihatan mental dan emosi mereka.

Golongan belia turut diberi perhatian melalui pelbagai program seperti Amanah Saham Belia, micro-credential dan Jejak Belia yang bertujuan untuk meningkatkan kemahiran dan kestabilan kewangan mereka, khususnya dalam sektor strategik seperti ekonomi digital, hijau dan kitaran.

"Kerajaan akan memperkenalkan Amanah Saham Belia bagi menggalakkan budaya pelaburan dan tabungan jangka panjang dalam kalangan generasi muda, selain meneroka pembiayaan bersepadu termasuk kemudahan pemilikan rumah pertama dengan kadar faedah fleksibel," menurut dokumen itu.

Dokumen tersebut turut memaklumkan bahawa pencapaian di bawah RMK12 menjadi asas penting kepada perancangan RMK13, antaranya peningkatan marginal penyertaan OKU dalam perkhidmatan awam daripada 0.29 peratus pada 2020 kepada 0.31 peratus pada 2024.

Bagi golongan kanak-kanak, pelbagai inisiatif dilaksanakan termasuk pelancaran Dasar Kanak-Kanak Negara yang baharu pada November 2024, demi memastikan suara mereka didengari dan diambil kira dalam keputusan yang memberi kesan kepada masa depan.

Selain itu, pindaan kepada Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 (Akta 676) yang mula berkuat kuasa pada Mac 2025 turut memperkukuh perlindungan undang-undang terhadap golongan tersebut.

Sementara itu, skor Indeks Belia Malaysia meningkat kepada 73.59 tahun ini berbanding 68.30 pada 2020, mencerminkan keberkesanan Pelan Pemerkasaan Sosioekonomi Belia 2030 dalam mempertingkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan golongan belia.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan