Kanak-kanak Lelaki Maut Terjatuh Dari Tingkat Lapan

01/08/2025 07:41 PM

SHAH ALAM, 1 Ogos (Bernama) -- Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun ditemukan maut dipercayai akibat terjatuh dari tingkat lapan sebuah flat di Pelabuhan Klang, dekat sini pagi tadi. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan Supt Kamalariffin Aman Shah berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu menerusi panggilan kecemasan kira-kira pukul 8 pagi tadi yang melaporkan terdapat kanak-kanak terjatuh dari bangunan terbabit. 

Beliau berkata kejadian itu berlaku ketika bapa kanak-kanak berkenaan berada di tempat kerja manakala ibunya telah keluar dari rumah untuk menghantar anak keduanya ke rumah pengasuh. 

"Siasatan awal mendapati kanak-kanak warga tempatan itu dipercayai terjatuh dari tingkap rumahnya di tingkat lapan flat itu. Mangsa telah dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk rawatan kecemasan, namun telah disahkan meninggal dunia semasa rawatan dijalankan," katanya menerusi kenyataan hari ini. 

Kamalariffin berkata hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala akibat jatuh dari tempat tinggi. 

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menerusi talian 03-33762222 untuk membantu siasatan.

-- BERNAMA 


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan