Ad Banner
 AM > BERITA

SAMB Mula Laksana Pelarasan Air

02/08/2025 08:35 AM

MELAKA, 2 Ogos (Bernama) -- Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) melaksanakan pelarasan struktur tarif air berkuat kuasa semalam bagi memastikan sistem bekalan air di negeri ini kekal lestari, stabil dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.

SAMB dalam kenyataan memaklumkan pelarasan tersebut dibuat tanpa membebankan majoriti pengguna domestik, terutamanya 312,396 isi rumah berdaftar yang menggunakan air secara berhemat.

“Pelarasan ini turut melibatkan 48,788 akaun bukan domestik termasuk premis perniagaan, industri, agensi kerajaan, institusi kebajikan, rumah ibadat, perkapalan dan pusat data, yang akan menyumbang secara lebih adil kepada kos penyediaan perkhidmatan air,” menurut kenyataan itu.  

Kadar tarif bekalan air baharu yang telah diselaraskan bagi Negeri Melaka adalah seperti berikut:

 

1. Domestik (Kediaman):

– Caj minimum: RM9.40

– 0-20 meter padu: RM0.94 / meter padu

– 21-35 meter padu: RM1.69 / meter padu

– Lebih 35 meter padu: RM2.26 / meter padu. 

 

2. Domestik (Meter Pukal Perumahan):

– Caj minimum: RM25

– Penggunaan: RM2.22 / meter padu

 

3. Perniagaan / Industri / Kerajaan:

– Caj minimum: RM26.60

– 0-35 meter padu: RM2.66 / meter padu

– Lebih 35 meter padu: RM2.72 / meter padu

 

4. Rumah Ibadat / Institusi Kebajikan:

– Caj minimum: RM10.10

– Penggunaan: RM1.01 / meter padu

 

5. Perkapalan:

– Caj minimum RM80.20 / meter padu

– Penggunaan: RM8.02 / meter padu

 

6. Pusat Data:

– Caj minimum: RM53.20

– Penggunaan: RM5.32 / meter padu

 

Menurut SAMB pelarasan itu juga bertujuan menampung kos pelaburan jangka panjang dalam menjadikan sistem bekalan air Melaka lebih mampan dan mampu memberi perkhidmatan lebih baik kepada semua lapisan masyarakat.

"Ia juga membolehkan SAMB mempercepatkan pelaksanaan projek strategik utama, antaranya Loji Rawatan Air Jus Fasa 2 (kapasiti 5 juta liter sehari), Loji Rawatan Air Jernih (kapasiti 90 juta liter sehari), pembesaran Loji Rawatan Air Merlimay Fasa 2 dan pembinaan Tangki Air Bukit Batu serta naik taraf Loji Rawatan Air Sebukor," menurut kenyataan itu.  

SAMB memaklumkan pelarasan itu turu membantu dalam mengganti dan memasang paip baharu di Sungai Rambai, Ayer Molek, Bukit Baru, Masjid Tanah dan laluan Bukit Bahudin ke Pekan Jasin sejauh 30 kilometer, selain menaik taraf sistem pengurusan buangan enap cemar di Loji Rawatan Air Bertam dan Merlimau serta kerja penyambungan paip air dari Sungai Muar ke Empangan Durian Tunggal.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan