Ad Banner
 AM > BERITA

Dunia Berdepan Pelbagai Bentuk Ancaman Bukan Tradisional - Panglima 21 GGK

01/08/2025 01:10 PM

MERSING, 1 Ogos (Bernama) -- Peranan Rejimen Gerak Khas kini dilihat menjadi semakin penting dan mencabar dalam berdepan cabaran keselamatan yang kompleks dengan pelbagai bentuk ancaman bukan tradisional.

Panglima 21 Gerup Gerak Khas (GGK) Mej Jen Ahmad Shuhaimi Mat Wajab berkata peperangan kini tidak lagi terbatas kepada konflik bersenjata, bahkan merangkumi peperangan dari aspek maklumat, siber, biologi dan psikologi.

"Keupayaan untuk melaksanakan operasi risikan strategik, menyusup kawasan musuh tanpa dikesan, melatih gerila dan melaksanakan direct action merupakan antara keupayaan 21 GGK yang wajar dikekalkan. 

"Namun, ancaman terkini seperti hibrid dan asimetrik memerlukan tindak balas yang cepat, senyap dan berkesan. Inilah kekuatan sebenar rejimen yang perlu wujud serta dibangunkan dan dikembangkan dengan latihan berkala dan efektif, " katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Jubli Intan bersempena dengan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas ke-60 di padang kawad markas 21 GGK Kem Iskandar, di sini hari ini. 

Turut hadir, Ketua Staf Am MK 21 GGK Brig Jen Samsyawal Muhamad dan Ketua Staf Perkhidmatan MK 21 GGK Brig Jen Mohd Musyadi Abdul Mutalib. 

Ahmad Shuhaimi dalam pada itu, berkata cabaran keselamatan geopolitik yang bercirikan ketidakstabilan, ketidakpastian, kerumitan dan kesamaran menerusi teori Vuca memerlukan GGK terus beradaptasi dengan cepat dan sentiasa bersiap sedia, bagi menghadapi ancaman dinamik sama ada berbentuk konvensional, bukan konvensional ataupun hibrid. 

"Justeru, kita sedang giat membuat kajian dan gerak tindak dalam membangunkan penstrukturan organisasi, pembangunan doktrin, perolehan aset berteknologi tinggi, pembinaan fasiliti latihan terkini selain mempergiat latihan bersama-sama pasukan khas tempatan dan antarabangsa.

"Semua itu menjadikan pasukan ini bukan sahaja bersifat reaktif, tetapi proaktif dalam melindungi kedaulatan negara," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan