Ad Banner
 AM > BERITA

MyDigital ID Kukuh Keselamatan Identiti, Perluas Akses Kemudahan Kerajaan - Pakar

01/08/2025 04:16 PM

Oleh Norazurra Aziz

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Penggunaan MyDigital ID sebagai kunci pengesahan identiti digital tunggal membolehkan proses pengesahan dalam talian dilakukan dengan selamat tanpa kebimbangan terhadap kebocoran maklumat peribadi atau penipuan identiti.

Timbalan Ketua Kluster Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Dr Rusli Abdullah berkata langkah itu amat penting dalam era digital yang sarat dengan ancaman siber memandangkan data peribadi sering menjadi sasaran pencerobohan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Sistem ini juga membolehkan pengesahan identiti secara pantas dan tepat sekali gus mengurangkan birokrasi serta meningkatkan kecekapan dalam proses permohonan, semakan dan kelulusan perkhidmatan awam.

“Ia turut menyokong pelaksanaan konsep single sign-on yang memudahkan rakyat mengakses pelbagai aplikasi dan portal kerajaan seperti GovTech tanpa perlu log masuk berulang kali,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) semalam berkata MyDigital ID akan diperkenalkan sebagai kunci pengesahan identiti digital tunggal yang selamat dan sahih, bagi memudahkan akses kepada pelbagai kemudahan awam dalam talian.

Rusli berkata langkah itu menunjukkan komitmen kerajaan mempercepat transformasi digital sektor awam, membina keyakinan rakyat terhadap keselamatan sistem digital dan menjadi asas kepada pembangunan ekosistem digital inklusif dan mampan bagi mencapai aspirasi Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi.

Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, Universiti Utara Malaysia Prof Madya Dr Mohd Khairie Ahmad berkata orang ramai tidak perlu bimbang tentang kebocoran maklumat kerana MyDigital ID tidak menyimpan biometrik pengguna seperti cap jari, imbasan wajah mahupun maklumat peribadi lain.

“MyDigital ID ini hanyalah satu bentuk sistem pengesahan identiti awal untuk membolehkan proses transaksi seterusnya berlaku dalam sistem lain.

“Lazimnya kalau hendak lakukan sesuatu urusan, pihak pemberi perkhidmatan akan memohon kad pengenalan (MyKad) untuk dibuat pengesahan diri kita. Maka, MyDigital ID ini berfungsi menggantikan proses itu di alam digital,” katanya.

Beliau berkata tahap keterhubungan mudah alih negara yang kini berada pada paras 121 peratus menunjukkan populasi negara secara majoritinya berada dalam sistem digital yang agak luas.

Mohd Khairie berkata data setakat Januari lepas juga menunjukkan bahawa tahap akses Internet Malaysia ialah 97.7 peratus daripada keseluruhan jumlah populasi.

“Fenomena ini menunjukkan bahawa alam digital sudah menjadi amalan dan budaya masyarakat. Memandangkan semakin hari semakin kerap rakyat berurusan secara digital, maka MyDigital itu merupakan satu mekanisme penting dalam menjamin keselamatan orang ramai,” katanya.

Pensyarah Kanan Jabatan Kurikulum dan Teknologi Pengajaran Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya Dr Mohd Shahril Nizam Shaharom pula berpendapat penekanan kepada pendidikan digital dan kesedaran keselamatan siber amat penting untuk memastikan rakyat benar-benar memahami penggunaan dan tanggungjawab terhadap identiti digital masing-masing.

“MyDigital ID membuktikan bahawa transformasi digital negara tidak boleh hanya tertumpu kepada pembangunan teknologi semata-mata, tetapi harus diperkukuh melalui pembinaan kemahiran digital, penghayatan etika teknologi dan kesedaran keselamatan dalam kalangan rakyat,” katanya.

Beliau berkata MyDigital ID berpotensi memperkasakan literasi digital rakyat dengan memupuk kesedaran terhadap keselamatan siber, mengasah keupayaan mengurus identiti dalam talian serta melahirkan masyarakat yang bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga tangkas beradaptasi dengan arus transformasi digital global.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan