Ad Banner
 AM > BERITA

SPRM Kemuka Cadangan Perkasa ACT-NET

01/08/2025 02:46 PM

PUTRAJAYA, 1 Ogos (Bernama) — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan tiga cadangan kepada negara-negara anggota Asia-Pacific Economic Cooperation (APEC) dalam memperkasakan peranan dan keberkesanan Anti-Corruption and Transparency Network (ACT-NET) APEC sebagai saluran penting untuk memerangi jenayah rasuah tanpa sempadan.

 

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Sri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, cadangan pertama ialah meningkatkan peranan ACT-NET, APEC melalui pemerkasaan saluran komunikasi dan amaran awal berhubung tindakan operasi siasatan melibatkan negara-negara di bawah APEC.

 

“Kedua, meningkatkan lagi kerjasama pengesanan dan pembekuan harta-harta penjenayah rasuah di negara terlibat dan pada masa sama, Malaysia menyokong cadangan APEC untuk memperkemaskan protokol berhubung notis pembekuan, penetapan piawaian pembuktian dan undang-undang berkaitan penyitaan melibatkan bidang perundangan yang berbeza.

 

“Manakala, cadangan ketiga ialah perkongsian kerjasama dalam pembangunan dan latihan melibatkan penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam memantau penyaluran hasil rasuah melalui blockhain, kewangan digital dan meningkatkan keupayaan forensik kewangan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika membentangkan cadangan tersebut di Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Tertinggi (Third Senior Officials Meeting) APEC yang berlangsung di Incheon, Korea Selatan pada 30 dan 31Julai 2025.

 

Datuk Sri Ahmad Khusairi berkata, selain cadangan, SPRM juga berkongsi beberapa kejayaan dalam siasatan kes rasuah berprofil tinggi melibatkan pengaliran hasil rasuah ke beberapa negara melalui modus operandi yang sukar dikesan oleh agensi penguatkuasaan rasuah seperti pengesanan pergerakan hasil rasuah pelbagai lapisan transaksi melibatkan beberapa negara melalui syarikat-syarikat yang didaftar untuk tujuan pengubahan wang haram.

 

Sementara itu, Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar turut membentangkan inisiatif latihan yang dilaksanakan MACA untuk pegawai-pegawai antirasuah di peringkat serantau.

— BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan