Ad Banner
 AM > BERITA

Rokok: 3,156 Notis Bernilai Lebih RM170,000 Dikeluarkan Di Melaka

02/08/2025 03:48 PM

MELAKA, 2 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 3,156 notis atas pelbagai kesalahan bernilai RM176,350 dikeluarkan di bawah Seksyen 47 Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) di Melaka setakat ini, sejak akta itu berkuat kuasa 1 Okt tahun lepas.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka Datuk Ngwe Hee Sem berkata dalam tempoh itu, Jabatan Kesihatan negeri telah melaksanakan 701 operasi melibatkan pemeriksaan terhadap 28,980 premis dalam usaha mengawal produk merokok demi kesihatan awam.

Beliau berkata antara kesalahan dikesan ialah merokok di kawasan larangan merokok yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 16 (2), Seksyen 17 (1) iaitu merokok bagi orang belum dewasa dan Seksyen 18 (1)(a) kerana gagal mempamerkan tanda amaran larangan merokok serta menyediakan kemudahan merokok di premis.

“Sejak Akta 852 dikuatkuasakan, kita memberi tumpuan penguatkuasaan di restoran, gerai makan, medan selera serta kedai makan atas tanah lot, dan operasi ini akan terus dilaksanakan secara berterusan.

“Penguatkuasaan bukan sahaja berfokus pada pemantauan kesalahan kawasan larangan penjualan produk tembakau tetapi juga larangan penjualan dan promosi produk tembakau,” katanya.

Ngwe berkata demikian kepada pemberita selepas Operasi Selamat Paru-Paru di Duyong di sini malam tadi, yang turut disertai Pengarah Kesihatan Melaka Dr Ruzita Mustaffa.

Selain itu, Ngwe berkata sebanyak 10 premis makanan diperiksa dan enam notis kesalahan bernilai RM1,500 dikeluarkan di bawah Seksyen 16 dan Seksyen 18 Akta 852 dalam operasi sekitar Melaka dari 8 hingga 10 malam semalam.

Beliau berkata denda berjumlah RM40,000 dikeluarkan ke atas dua peniaga di bawah Seksyen 14, kerana menjual produk merokok tidak mengikut harga dan syarat ditetapkan.

“Sebanyak 450 kotak rokok bernilai RM3,055.50 turut disita di bawah Seksyen 14 dan kita percaya rokok berkenaan dijual pada harga murah iaitu antara RM5 hingga RM7.50 kepada pelajar sekolah atau remaja bawah umur.

“Rokok berkenaan dipercayai diseludup berdasarkan pemeriksaan dan pengesahan awal oleh anggota penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang menyertai operasi,” katanya.

Selain Jabatan Kesihatan dan JKDM, operasi melibatkan 40 anggota penguat kuasa itu turut disertai agensi lain seperti polis dan Lembaga Kenaf Dan Tembakau Negara Melaka.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan