MELAKA, 2 Ogos (Bernama) -- Jika dahulu mengibarkan Jalur Gemilang menjadi simbol kemegahan setiap kali menyambut Hari Kebangsaan, namun kini seni kulinari khususnya hiasan kek bertemakan patriotik turut menjadi medium menzahirkan semangat cintakan negara.
Usahawan manisan Hilaliyah Mohamed Hanif, 50, yang berpengalaman selama 16 tahun berkata seni hiasan kek patriotik bukan hanya memenuhi permintaan pelanggan, tetapi juga menjadi platform menyemai nilai kenegaraan.
“Apabila kita melihat kek atau manisan dengan motif dan corak kenegaraan, secara tidak langsung semangat patriotik meresap dalam jiwa. Saya menerima lebih 10 tempahan kek bertemakan patriotik termasuk kek pulut kuning sempena Hari Kebangsaan, sejak terlibat dalam bidang ini,” katanya kepada Bernama.
Hilaliyah berkata banyak mengambil inspirasi elemen budaya seperti motif songket, wau, bunga raya, tanjak dan bangunan ikonik di Malaysia, dengan pelanggan termasuk pihak sekolah, badan korporat dan individu mula membuat tempatan seawal Ogos.
“Motif dan corak ini walaupun sering dilihat setiap hari, tetapi apabila dihasilkan pada hari penting negara, ia mampu membangkitkan rasa cinta kepada negara, bukan sahaja kepada yang membuat tetapi juga kepada mereka menikmati hasilnya,” katanya.
Hilaliyah berkata antara pengalaman paling mengesankan bagi beliau ialah ketika menghasilkan kek berbentuk buku bertemakan sajak “Guru Oh Guru” karya Sasterawan Negara Datuk Usman Awang, sempena sambutan Hari Guru 2015 yang mendapat sambutan luar biasa.
“Walaupun bukan kek pada Hari Kebangsaan, nilai patriotik dan penghargaan terhadap pendidik menjadikan kek itu sangat bermakna. Ia membuktikan bahawa semangat kebangsaan boleh dizahirkan dalam pelbagai cara,” katanya.
Kek bertemakan patriotik juga tidak terhad kepada individu atau usahawan kecil tetapi juga mendapat perhatian sektor hospitaliti, termasuk sebuah hotel terkemuka di negeri itu yang memperkenalkan kek cawan Jalur Gemilang sepanjang Ogos sebagai usaha menyemarakkan suasana kemerdekaan dalam kalangan tetamu.
Ketua Cef Pastri hotel itu Muzaffar Shah Yusoff, 51, berkata pihaknya melihat seni hiasan kek sebagai medium yang mampu mendekatkan rakyat dengan nilai serta identiti nasional.
“Kek cawan bertemakan patriotik dengan tiga variasi iaitu red velvet, coklat dan lobak merah, bukan sahaja menarik secara visual tapi turut menjadi simbolik kecintaan kepada negara yang boleh dizahirkan dalam bentuk lebih santai dan kreatif.
“Ia juga menjadi ruang dan peluang kepada kami untuk mengetengahkan nilai kenegaraan kepada generasi muda melalui pendekatan mesra pelanggan,” katanya.
Selain itu, Muzaffar berkongsi pengalaman menghasilkan kek bertema patriotik dalam skala besar termasuk kek bersaiz 10 kaki x 5 kaki lengkap dengan elemen kenegaraan, yang sudah tentu memerlukan persediaan rapi dalam menghasilkan setiap kek ditempah.
“Memang sukar tetapi apabila kek berjaya menyentuh hati tetamu, ia suatu kepuasan dan secara tidak langsung memberi semangat untuk kami menghasilkan kek bertemakan patrotik pada masa akan datang.
“Saya juga percaya seni hiasan kek ini mampu menjadi bentuk komunikasi moden merentas usia dan latar belakang kerana bukan sahaja menyerikan majlis tetapi juga membawa naratif tentang sejarah, budaya dan semangat Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial