Ad Banner
 AM > BERITA

HPPNK 2025 Catat Jualan RM1.6 Juta, Lebih 163,000 Pengunjung Setakat Hari Kedua

02/08/2025 10:42 PM

KOTA KINABALU, 2 Ogos (Bernama) -- Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini mencatatkan nilai jualan RM1.6 juta dan menerima lebih 163,000 pengunjung setakat 7 malam tadi. 

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata program yang bermula semalam dijangka menarik lebih ramai pengunjung serta lebih banyak jualan pada hari terakhir esok.

"Selain pengunjung tempatan, kita turut menerima kunjungan daripada warga Brunei, Filipina, Indonesia serta ramai juga pengunjung dari Semenanjung yang hadir bersama-sama memeriahkan HPPNK 2025 ini," katanya ketika berucap merasmikan penutupan Konvensyen HPPNK 2025 di sini malam ini.

Mohamad berkata pada hari terakhir HPPNK 2025 esok, pengunjung berpeluang mendapatkan pelbagai barangan dengan harga yang lebih murah termasuk jualan lelong.

Beliau turut melahirkan rasa gembira melihat kemunculan usaha baharu dalam sektor pertanian terutama penanaman buah-buahan seperti avokado oleh golongan belia di Sabah.

"Begitu juga perusahaan bawang yang begitu subur di sini. Saya sendiri ditunjukkan bawang yang dihasilkan di Sabah ini, cukup cantik dan bermutu. Sabah juga terkenal dengan ternakan, lembu-lembu yang diternak di sini semuanya subur, segar dan gemuk-gemuk belaka," katanya.

Mohamad berkata minat anak muda terhadap pertanian telah meningkat dan bidang itu tidak lagi dilihat sebagai pekerjaan sampingan tetapi sebagai suatu profesion.

Sementara itu, beliau berkata seramai 260 peserta terlibat dalam konvensyen yang bermula semalam.

Beliau berkata konvensyen itu merupakan sebahagian daripada fokus Sejahtera MADANI selain bertujuan mengukuhkan semangat perpaduan dan kerjasama dalam kalangan komuniti agromakanan.

“Konvensyen ini adalah manifestasi komitmen kerajaan dalam memastikan sektor agromakanan berdaya tahan dan sentiasa berada di landasan yang betul untuk menyumbang kepada keterjaminan makanan negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan