Ad Banner
 AM > BERITA

60 Peratus Kes Kebakaran Rumah Berpunca Daripada Peralatan Elektrik - Bomba

03/08/2025 11:03 AM

Oleh Amanina Mohamad Yusof

PUTRAJAYA, 3 Ogos (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mendapati kira-kira 60 peratus kes kebakaran rumah di Malaysia berpunca daripada masalah berkaitan elektrik.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata punca utama kebakaran melibatkan pendawaian elektrik tidak selamat, pengubahsuaian elektrik tanpa mengikut piawaian, serta penggunaan peralatan elektrik secara berlebihan dalam kediaman.

"Ramai yang ambil mudah soal keselamatan elektrik di rumah. Pendawaian lama, suis kerap ‘trip’, penggunaan alat elektrik berkuasa tinggi seperti penyaman udara, pemanas air dan chest freezer sering menyebabkan lebihan beban elektrik," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata kesilapan lazim seperti menyambung terus fius yang rosak atau mengubah suai sistem keselamatan elektrik boleh mengakibatkan kebakaran besar, terutama apabila sistem gagal memutuskan bekalan elektrik ketika berlaku litar pintas atau suhu berlebihan.

Justeru, Nor Hisham menasihati pemilik rumah agar menjalankan pemeriksaan pendawaian elektrik setiap 10 hingga 15 tahun oleh juruelektrik bertauliah bagi mengesan sekiranya terdapat kebocoran elektrik, terutamanya bagi rumah yang sudah berusia atau baru siap dibina.

"Kemudian jangan ambil mudah berkaitan kerosakan awal elektrik. Ada soket di rumah yang selalu trip, lepas trip, trip lagi, tapi kita selalu biarkan. Panggillah orang yang tahu tentang pendawaian elektrik untuk kenal pasti masalah itu," katanya.

Selain kegagalan elektrik, Nor Hisham berkata aktiviti memasak turut menjadi antara penyumbang utama kebakaran di rumah, khususnya apabila penghuni meninggalkan dapur tanpa pengawasan atau berlaku kebocoran gas.

Beliau berkata kerugian harta benda akibat kebakaran pada 2023 dianggarkan berjumlah RM1.6 bilion, berkurangan berbanding RM2.66 bilion pada tahun sebelumnya, meskipun jumlah kebakaran struktur meningkat.

"Faktor seperti kecekapan respons pasukan bomba, serta kesedaran penghuni yang bertindak awal dengan alat pemadam api berjaya mengurangkan kerugian akibat kebakaran di rumah,” katanya.

Nor Hisham berkata semua bangunan dan rumah disyorkan untuk memiliki sekurang-kurangnya satu unit alat pemadam api bagi membolehkan tindakan awal diambil sekiranya berlaku kebakaran.

"Secara asasnya kita berpegang pada prinsip “mencegah lebih baik daripada merawat”, dan kalau kita lihat kepada kajian Kerangka Sendai, ia menyatakan setiap ringgit yang kita labur untuk kerja-kerja pencegahan, kesannya ialah memberi nilai pulangan RM8.

"Maksudnya kalau kita labur RM1 dijangkakan berlaku pengurangan kepada RM8 dari segi kerugian ditanggung kalau berlaku bencana," katanya.

Kerangka Sendai adalah perjanjian antarabangsa yang menetapkan langkah bagi mengurangkan risiko bencana bertujuan mengurangkan kematian, bilangan orang terjejas, kerugian ekonomi dan kerosakan infrastruktur akibat bencana.

Kerangka itu, yang meliputi tempoh dari 2015 hingga 2030 turut menekankan kepentingan memahami risiko bencana, memperkukuh tadbir urus, melabur dalam pengurangan risiko dan meningkatkan kesiapsiagaan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan