Ad Banner
 AM > BERITA

Penduduk Rumah Panjang Lega, MyKad Permudah Bantuan SARA

04/08/2025 09:11 AM

Oleh Muhammad Ammar Shafiq Hamzah

SERIAN, 4 Ogos (Bernama) -- Penduduk rumah panjang di pedalaman Sarawak menarik nafas lega apabila bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kini boleh diakses terus menggunakan MyKad di kedai runcit berdekatan, tanpa perlu ke bandar atau melalui prosedur rumit.

Langkah itu bukan sahaja menjimatkan masa dan kos, malah memastikan bantuan bersasar daripada kerajaan sampai ‘'terus ke poket’ mereka yang memerlukan, tepat pada masanya.

Tuai Rumah Panjang Kampung Reah Baru, Guang Latip, 69, berkata sebelum ini penduduk rumah panjang berkenaan perlu menempuh perjalanan sejauh 35 kilometer ke pekan Serian semata-mata untuk mengeluarkan bantuan yang diberikan.

“Dulu memang susah sikit untuk kami (mengambil bantuan) kerana perlu ke bank, tetapi kali ini sangat senang sebab guna MyKad saja, terus boleh beli barang makanan dan keperluan harian di kedai,” kata Guang kepada Bernama.

Beliau menyifatkan kaedah itu sebagai lebih efisien, khususnya dengan kedudukan geografi Sarawak yang luas dan mempunyai ramai komuniti di kawasan pedalaman.

Guang berkata semua 78 keluarga di rumah panjang yang dibina pada 2011 itu, termasuk penduduk di sekitarnya, layak menerima bantuan SARA tahun ini.

Sementara itu, seorang suri rumah dengan tiga anak kecil, Minang Dawi, 43, menyifatkan kemudahan itu amat membantu, terutama apabila beliau tidak perlu lagi meninggalkan anak-anak semata-mata untuk menuntut bantuan di bandar.

“Sekarang saya guna MyKad saja untuk beli susu, beras dan barang dapur,” katanya sambil berharap kerajaan mempertimbangkan jumlah isi rumah dalam penetapan kadar bantuan, bukan semata-mata berdasarkan pendapatan bulanan.

Bagi Madlein Ngaran, 52, bantuan ‘terus ke poket’ itu memberi kemudahan besar kepada beliau yang tinggal bersendirian di rumah panjang berkenaan.

“Bila bantuan boleh digunakan hanya dengan pengesahan MyKad, saya dapat urus sendiri keperluan harian tanpa perlu bergantung pada anak-anak,” katanya.

Program SARA merupakan inisiatif bantuan tunai bersasar yang kini diperluas kepada 5.4 juta penerima, merangkumi 700,000 penerima eKasih dan 4.7 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Menerusi Belanjawan 2025, kerajaan meningkatkan peruntukan bagi STR dan SARA kepada RM13 bilion berbanding RM10 bilion tahun lalu, manakala kadar tahunan bantuan SARA turut dinaikkan kepada RM2,100 berbanding RM1,200 sebelum ini.

Inisiatif ini selari dengan kerangka Ekonomi MADANI yang menekankan pemerkasaan rakyat berpendapatan rendah melalui peluang lebih adil, taraf hidup yang lebih baik serta perlindungan sosial menyeluruh.

Sempena sambutan Hari Kebangsaan, kerajaan turut mengumumkan bantuan sekali beri sebanyak RM100 kepada semua warganegara dewasa berusia 18 tahun ke atas di bawah program SARA.

Inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada 22 juta rakyat dengan peruntukan tambahan RM2 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan tunai STR dan SARA tahun ini mencecah RM15 bilion – tertinggi dalam sejarah negara.

Sehingga 29 Julai lalu, sebanyak 4,500 premis runcit berdaftar di seluruh negara menyertai program SARA, menawarkan lebih 90,000 barangan keperluan harian merangkumi 14 kategori seperti beras, telur, ubat-ubatan, barangan kebersihan, keperluan sekolah dan penjagaan diri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan