Ad Banner
 AM > BERITA

Kelantan Catat Kadar Penagih, Penyalah Guna Dadah Ketiga Tertinggi - AADK

04/08/2025 05:21 PM

KOTA BHARU, 4 Ogos (Bernama) -- Kelantan mencatatkan sebanyak 11,280 penagih dan penyalah guna dadah setakat Mac 2025, menjadikan negeri ini berada pada kedudukan ketiga tertinggi di negara ini bagi kadar penagih dan penyalah guna dadah bagi setiap 100,000 penduduk dengan 597 kes.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Ruslin Jusoh berkata berdasarkan laporan yang dikeluarkan hingga Mac lepas, sejumlah 108,409 penagih dan penyalah guna dadah telah dikesan di seluruh negara.

Beliau berkata Terengganu merekodkan kadar tertinggi, iaitu 663 kes diikuti Perlis dengan 609 kes, Kedah (553) dan Pahang (495).

“Bagaimanapun, kadar di Kelantan menunjukkan penurunan sebanyak 5.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

"Penurunan kadar itu hasil pelbagai usaha bersepadu melibatkan aktiviti penguatkuasaan, pelaksanaan program pendidikan pencegahan serta kawalan di kawasan sempadan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah Negeri Kelantan yang dipengerusikan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

“Penutupan jalan tikus dan pangkalan haram juga membolehkan aktiviti keluar masuk bahan terlarang dari negara jiran dapat dikawal selia dengan lebih teratur,” katanya.

Sementara itu, berdasarkan laporan AADK bagi tempoh Januari hingga Mac 2025, penyalahgunaan dadah jenis Amphetamine Type Stimulants (ATS) merupakan yang tertinggi di Kelantan, melibatkan sebanyak 10,071 orang atau 89.3 peratus daripada keseluruhan kes.

Ruslin berkata penggunaan dadah jenis opiat pula mencatatkan 766 kes (6.8 peratus), pil psikotropik sebanyak 277 kes (2.5 peratus) dan ganja yang merekodkan 41 kes (0.4 peratus). Selain itu, lain-lain kategori bahan ketagihan mencatatkan 277 kes atau 6.8 peratus.

Beliau berkata AADK akan memperkukuh lagi usaha pencegahan, rawatan dan pemulihan termasuk melalui program pendidikan komuniti serta operasi penguatkuasaan bersama-sama agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam.

Terdahulu, dalam mesyuarat berkenaan sebanyak empat pembentangan telah diadakan melibatkan pelbagai agensi berkaitan.

Dua daripadanya ialah pembentangan laporan Statistik Penyalahgunaan Dadah serta Bahan Malaysia dan Negeri Kelantan oleh AADK manakala PDRM turut membentangkan Laporan Senario Dadah di Negeri Kelantan.

Selain itu, turut dibentangkan kertas makluman laporan Kajian Penggunaan Epam (Nitrazepam) dan Magic Mushroom dalam Kalangan Belia di Kelantan oleh Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, serta kertas makluman pindaan Akta Penagih Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan 2024) oleh AADK.

Berdasarkan pembentangan itu, pelbagai langkah strategik dirancang untuk memperkukuh usaha pencegahan dan rawatan, selain memperketat kawalan kemasukan bahan terlarang, khususnya di kawasan sempadan.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan