JOHOR BAHRU, 5 Ogos (Bernama) -- Projek Kajian Kebolehlaksanaan Lebuhraya Pantai Barat (WCE)-Hubungan Selatan sepanjang kira-kira 230 kilometer dari Banting, Selangor ke Gelang Patah di sini, dijangka siap pada 16 Dis ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata projek itu ialah inisiatif strategik untuk menyediakan laluan alternatif kepada Lebuhraya Utara-Selatan (E2) yang sering mengalami kesesakan terutamanya pada musim perayaan dan hujung minggu.
Beliau berkata laluan berkenaan menghubungkan empat negeri, iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor serta melibatkan 11 daerah dan 14 pihak berkuasa tempatan.
"Kajian ini dijadualkan berlangsung dari Jun hingga Disember 2025 dengan laporan akhir dan model trafik dijangka siap pada 16 Dis 2025. Sebanyak tiga sesi Focus Group Discussion (FGD) turut akan dilaksanakan dalam tempoh berkenaan.
"Antara daerah yang terlibat di Johor ialah Batu Pahat, Johor Bahru, Muar, Pontian dan Tangkak, menjadikan projek ini sebagai pemangkin kepada pembangunan infrastruktur dan ekonomi serantau," katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.
Mohamad Fazli berkata projek itu dijangka memberikan pelbagai manfaat termasuk pengurangan kesesakan trafik di laluan utama, penjimatan masa perjalanan dan memperkukuh rangkaian logistik serta pelaburan.
"Menjelang 2030, sebanyak 26 peratus trafik dijangka beralih ke laluan baharu ini, sekali gus menjadikan WCE Selatan sebagai satu penyelesaian jangka panjang kepada cabaran mobiliti di wilayah selatan tanah air. Semoga segala urusan kemajuan pembangunan di Johor dipermudah," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial