KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Kementerian Luar memaklumkan tiada laporan mengenai rakyat Malaysia yang terjejas akibat banjir susulan Taufan Wipha dan hujan Monsun Barat Daya di Laos.
Dalam satu nasihat media pada Selasa, kementerian itu bagaimanapun menasihatkan semua rakyat Malaysia yang menetap atau sedang berada di Laos supaya berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan, serta sentiasa peka terhadap perkembangan cuaca dan nasihat rasmi perjalanan yang dikeluarkan pihak berkuasa.
“Kementerian Luar, melalui Kedutaan Besar Malaysia di Vientiane, sedang memantau rapi keadaan di Laos berikutan banjir besar yang berpunca daripada hujan lebat Monsun Barat Daya dan Taufan Wipha,” menurut kenyataan itu.
Kementerian itu yang turut dikenali sebagai Wisma Putra akan menyalurkan maklumat dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di negara itu.
“Rakyat Malaysia di Laos juga digalakkan untuk mendaftar dengan kedutaan dan kekal berhubung bagi mendapatkan bantuan serta maklumat terkini,” menurutnya lagi.
Menurut Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan ASEAN (Pusat AHA), bencana itu telah menjejaskan lebih 58,000 orang daripada 34,000 keluarga di 10 wilayah. Setakat ini, sembilan kematian dan empat individu dilaporkan hilang.
Untuk bantuan konsul, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Vientiane di alamat Nongbone Road, Ban Phonexay, P.O. Box 789, Vientiane, Laos, melalui talian +856 21 414205 / +856 21 414201 atau +856 20 5553 1801 (kecemasan), atau e-mel ke mwvientiane@kln.gov.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial