Ad Banner
 AM > BERITA

Seramai 13,424 Peserta Ikuti NPQEL Sejak 2015 - Wong

05/08/2025 05:54 PM

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Seramai 13,424 peserta telah mengikuti Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL) atau National Professional Qualification for Educational Leaders sejak tahun 2015 hingga kini, kata Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.

Beliau berkata jumlah itu melibatkan 1,350 peserta pada 2015, 1,675 peserta  (2016), 1,672 peserta (2017), 1,455 peserta (2018), 1,106 peserta (2019), 996 peserta (2020), 1,020 peserta (2021), 685 peserta (2022), 690 peserta (2023), 1,123 (2024) dan 1,652 peserta pada tahun ini.

“Sehingga 9 Julai tahun ini, pengisian jawatan pengetua adalah sebanyak 93 peratus, iaitu 2,244 daripada 2,409 jawatan telah diisi.

“Bagi jawatan guru besar di sekolah rendah, termasuk sekolah rendah pendidikan khas, kadar pengisian adalah 98 peratus, melibatkan 7,584 daripada 7,734 jawatan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Wong berkata demikian ketika menjawab soalan Kesavan Subramaniam (PH- Sungai Siput) mengenai jumlah pengambilan calon NPQEL setiap tahun sejak 2015 serta jumlah pengisian jawatan pengetua dan guru besar setakat ini.

NPQEL adalah program latihan dan kelayakan profesional yang diwajibkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk bakal pengetua sekolah yang ingin dilantik ke jawatan kepimpinan sekolah, bertujuan untuk membangunkan kompetensi kepimpinan serta pengurusan sekolah secara sistematik dan berstruktur.

Beliau turut memaklumkan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, Kementerian Pendidikan telah menambah bilangan slot NPQEL, iaitu 1,123 peserta pada 2024 dan 1,652 pada tahun ini, sebagai langkah jangka panjang untuk menampung keperluan pengisian jawatan berkenaan.

Wong berkata jumlah kekosongan jawatan pengetua dan guru besar yang dijangka diisi bagi 2026 hingga 2027 adalah seramai 2,271 orang.

“Setakat 31 Dis 2024, seramai 728 calon layak dilantik. Apabila semua peserta NPQEL menamatkan kursus mereka hujung tahun ini, sebanyak 1,543 lagi jawatan boleh diisi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan pengisian jawatan juga tertakluk kepada faktor lain termasuk keperluan khas di sekolah agama bantuan kerajaan (SABK), sekolah menengah jenis kebangsaan (SMJK) dan sekolah mubaligh.

Bagi kekosongan tersebut, KPM atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan mengambil kira cadangan daripada Lembaga Pengelola Sekolah sebelum membuat pelantikan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan