Ad Banner
 AM > BERITA

Pahang Sumbang RM25.12 Bilion Nilai Jualan Pertanian, Kedua Tertinggi Di Malaysia

05/08/2025 08:40 PM

KUANTAN, 5 Ogos (Bernama) -- Pahang muncul sebagai penyumbang kedua terbesar nilai jualan pertanian di Malaysia yang mencecah jumlah keseluruhan RM25.12 bilion pada 2023, selain kekal sebagai pemain utama pertanian negara. 

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata daripada jumlah itu, subsektor tanaman menjadi penyumbang utama dengan nilai jualan sebanyak RM22.11 bilion atau 88.0 peratus, diikuti ternakan sebanyak RM1.21 bilion (4.8 peratus), perikanan RM0.91 bilion (3.6 peratus), perhutanan dan pembalakan RM0.56 bilion (2.2 peratus) serta akuakultur RM0.33 bilion (1.3 peratus).

“Cameron Highlands kekal sebagai peneraju dalam pengeluaran sayur-sayuran di Malaysia dengan nilai jualan RM3.60 bilion, manakala Pahang juga pengeluar utama kelapa sawit di Semenanjung Malaysia, mencatatkan nilai jualan RM14.18 bilion, didominasi oleh daerah Rompin, Pekan dan Bera,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada majlis pelancaran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 Negeri Pahang yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Pahang Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak di sebuah hotel di sini hari ini. 

Dalam pada itu, Mohd Uzir yang juga Pesuruhjaya Banci Pertanian 2024 berkata pihaknya turut menyokong usaha kerajaan negeri dalam menghasilkan sektor pertanian yang tinggi selaras dengan strategi Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13). 

“Melihat fokus kepada sektor bernilai tinggi ini satu keutamaan dalam usaha kita memacu sektor pertanian negara. Saya percaya kerajaan negeri amat arif mengenai perkara ini dan kami di DOSM bersama agensi berkaitan akan terus menyokong menerusi penghasilan data yang dapat mempercepat proses pembangunan berkenaan,” katanya. 

Menerusi Interim Banci Pertanian 2024 Negeri Pahang secara tidak langsung akan membantu kerajaan negeri menilai keberkesanan sektor pertanian, selain memastikan hasilnya dapat diukur secara berterusan. 

“Sebenarnya data ini mengurangkan ketidaktentuan kerana ia boleh menyeimbangkan harga pasaran meskipun kita ada latecomer. Sebenarnya pengurusan sektor pertanian di negara maju nampak kehadapan adalah sebab ia mempunyai data yang tepat,” katanya. 

Sementara itu, Mohd Soffi berkata pendekatan proaktif antara pihaknya dan agensi Persekutuan membuktikan kesungguhan kerajaan negeri dalam memastikan kelangsungan projek pertanian sekali gus memberikan keyakinan kepada agensi pelaksana.

Beliau berkata sebagai tanda komitmen kerajaan negeri, isu berkaitan tanah tidak akan dijadikan halangan dalam pelaksanaan projek pertanian.

“Sebaik sahaja sesuatu kawasan dikenal pasti mempunyai potensi untuk dimajukan, semua agensi yang terlibat termasuk Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi teknikal lain akan mewujudkan Jawatankuasa Kelulusan Tapak (CJ) bagi memastikan tiada halangan dari segi pelaksanaan projek.

“Kita tidak mahu apabila projek dicadangkan, isu tanah pula menjadi penghalang utama. Justeru, apabila tapak sudah dikenal pasti, semua agensi berkaitan akan membuat penilaian terperinci dan memberikan perakuan bahawa tanah itu sedia dimajukan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan