PUTRAJAYA, 6 Ogos (Bernama) -- Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan (IHPRP) Malaysia mencatatkan peningkatan tahun ke tahun sebanyak satu peratus pada suku kedua tahun ini, meningkat daripada peningkatan 0.6 peratus pada suku tahun sebelumnya, menurut laporan IHPRP terbitan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan itu didorong oleh sektor kesenian, hiburan dan rekreasi yang meningkat 4.5 peratus, walaupun lebih perlahan berbanding 6.6 peratus yang dicatatkan pada suku tahun sebelumnya.
Beliau berkata penginapan serta aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman turut meneruskan trend peningkatan, iaitu meningkat 3.6 peratus, sama seperti suku tahun pertama tahun ini, yang disokong oleh peningkatan dalam indeks restoran dan aktiviti perkhidmatan makanan bergerak sebanyak 4.2 peratus serta 2.7 peratus dalam aktiviti perkhidmatan minuman.
“Indeks lain yang mencatatkan peningkatan ialah pendidikan sebanyak 1.3 peratus, kesihatan (0.6 peratus) dan profesional (0.5 peratus),” katanya.
Mohd Uzir berkata indeks pengangkutan pula merekodkan penurunan 0.8 peratus, penyusutan yang lebih kecil berbanding penurunan 3.1 peratus pada suku tahun sebelumnya.
Beliau berkata penurunan berkenaan terutamanya disebabkan oleh penurunan dalam indeks pengangkutan penumpang udara iaitu -4.8 peratus.
Indeks aktiviti hartanah turut mencatatkan penurunan perlahan 0.1 peratus selepas mencatatkan peningkatan 0.1 peratus pada bulan sebelumnya dipengaruhi oleh indeks aktiviti hartanah atas dasar bayaran kontrak (-0.1 peratus) manakala indeks maklumat dan komunikasi kekal tidak berubah.
Mohd Uzir berkata pada asas suku tahunan, IHPRP mencatatkan peningkatan sebanyak 0.3 peratus, mengekalkan kadar yang sama seperti pada suku tahun sebelumnya dengan peningkatan itu disumbangkan terutamanya oleh indeks kesenian, hiburan dan rekreasi (dua peratus), penginapan serta aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman (0.6 peratus), pengangkutan dan pendidikan masing-masing 0.3 peratus, kesihatan (0.2 peratus) serta profesional (0.1 peratus).
Namun begitu, beliau berkata indeks maklumat dan komunikasi serta aktiviti hartanah kekal tidak berubah pada suku tahun ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial