LABUAN, 6 Ogos (Bernama) -- Datuk Mohd Husni Mohamad Salleh dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Labuan (LC) yang baharu bagi tempoh dua tahun, berkuat kuasa 1 Ogos lepas.
Mohd Husni, 56, merupakan pemimpin korporat dan pentadbir dengan lebih 34 tahun pengalaman dalam organisasi seperti agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan selain sektor swasta.
Beliau memiliki ijazah sarjana muda dalam Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) dari Universiti West Virginia, Amerika Syarikat.
Pelantikan itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa hari ini.
Sebelum ini Mohd Husni berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dari 2011 hingga 2018.
Ketika kepimpinannya itu, beliau turut berperanan sebagai Ketua Sekretariat Majlis Ekonomi Bumiputera Kebangsaan serta Majlis Ekonomi Bumiputera Sabah dan Sarawak.
Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Pegawai Tadbir Urus di Sumner Group Health Medical Devices Limited di United Kingdom selain sebagai CEO Maju Holdings Sdn. Bhd, CEO Malaysia Venture Capital Management Berhad (MAVCAP) dan Ketua Pegawai Operasi MSC Venture Management.
Sepanjang kerjayanya, beliau telah menerima pengiktirafan antarabangsa termasuk Anugerah Jewels of the Muslim World daripada Majalah OIC Today pada 2019, Anugerah Kepimpinan Global untuk Kecemerlangan Kepimpinan dalam Transformasi Komuniti pada 2017 dan Anugerah Kepimpinan Inovatif daripada Limkokwing University pada 2016.
Dr Zaliha yang menzahirkan keyakinan atas pelantikan Mohd Husni berkata: “Saya percaya dengan pengalaman beliau yang luas dan latar belakangnya, pelantikan Mohd Husni akan terus mengukuhkan peranan strategik Labuan sebagai Wilayah Persekutuan yang kompetitif, khususnya dalam meningkatkan tarikan pelaburan, memperluas ekosistem ekonomi tempatan dan menambah baik kualiti kehidupan penduduk pulau tersebut."
Dr Zaliha turut menyatakan setinggi-tinggi penghargaan bagi pihak kerajaan kepada Senator Tan Sri Anifah Aman atas kepimpinan dan sumbangan beliau sepanjang berkhidmat sebagai Pengerusi LC bermula Jun 2023.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial