Lelaki Dalam Video Tular Memukul Anjing Peliharaannya, 'Lucky', Didenda RM30,000 

07/08/2025 06:44 PM

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Seorang lelaki yang tular kerana memukul anjing peliharaannya, ‘Lucky’, menggunakan rotan kayu dan getah paip, didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Ampang hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Hakim Norshila Kamarudin menjatuhkan hukuman itu ke atas penyelenggara pendingin hawa, Kiew Mun Kiat, 43, dan memerintahkan Orang Kena Saman (OKS) itu dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda. Lelaki terbabit membayar denda itu.

Mahkamah turut memerintahkan haiwan itu dilucut hak kepada kerajaan untuk tujuan pengangkatan kepada orang awam yang layak dan berminat melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor.

Kiew didakwa dengan kejam memukul seekor anjing jantan baka Jerman Sherpherd dengan menggunakan sebatang rotan kayu dan satu getah paip berwarna kuning secara bertubi-tubi, di rumahnya di Pandan Indah, pada 5.29 petang, 31 Julai lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) dan boleh dihukum di bawah seksyen sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, antara 5.29 petang hingga 5.41 petang, pada tarikh sama (31 Julai), perbuatan Kiew memukul anjing itu dirakam penduduk sekitar rumahnya menggunakan telefon bimbit sebelum dimuat naik dan tular di beberapa rangkaian media sosial.

Bertindak atas maklumat dan aduan awam, sepasukan Pegawai Kebajikan Haiwan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor dan sepasukan pegawai serta anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya menjalankan pemeriksaan di rumah OKS dan mendapati terdapat seekor anjing jantan bernama 'Lucky' dalam keadaan diikat selain menjumpai satu batang rotan dan satu getah paip di kawasan perkarangan rumah terbabit.

Pemeriksaan fizikal yang dijalankan terhadap anjing itu pada 1 Ogos lepas, mendapati terdapat luka pada bahagian hadapan kaki kiri dengan keguguran bulu (alopecia) setempat serta kemerahan (erythema) pada kulit.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor Mohd Sharif Sabran memohon mahkamah mengenakan hukuman berat dengan mengambil kira kepentingan awam serta keseriusan kes itu berkaitan penganiayaan terhadap haiwan.

"Dalam kes ini, OKS memukul anjingnya bertubi-tubi dengan kesan kecederaan yang boleh mendatangkan trauma kepada haiwan itu. Pihak pendakwaan juga memohon supaya anjing itu dilucut hak kepada kerajaan untuk tujuan pengangkatan kepada orang awam yang layak dan berminat melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor," katanya.

Kiew yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia menanggung keluarga selain memaklumkan tindakannya memukul anjing itu adalah untuk mengajar kerana haiwan itu menggigit tangannya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan