Ad Banner
 AM > BERITA

Fahmi Ucap Takziah Kepada Keluarga Penerbit RTM Allahyarham Irwan Budi

07/08/2025 10:42 AM

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Penerbit Rancangan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sarawak, Allahyarham Irwan Budi Annuar yang meninggal dunia malam tadi akibat komplikasi buah pinggang dan paru-paru.

Menerusi hantaran di Facebook, Fahmi berkata beliau menerima perkhabaran duka itu daripada rakan-rakan di RTM.

"Pada September 2023, saya sempat menziarahi Allahyarham di kediamannya di Petra Jaya, Kuching untuk menyerahkan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA, setelah dimaklumkan keadaan kesihatannya merosot," katanya.

Fahmi berkata Allahyarham Irwan Budi telah berkhidmat lebih 20 tahun bersama RTM dan banyak menyumbang kepada dunia penyiaran negara.

“Pastinya jasa serta sumbangan beliau dalam dunia penyiaran amat dihargai. Takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman serta beramal soleh. Al-Fatihah,” katanya

Allahyarham Irwan Budi, 51, meninggal dunia di rumahnya dekat Taman Sourabaya Indah, Petrajaya, Kuching, sekitar 8 malam.

Beliau mula berkhidmat di RTM sejak 2005, dan pernah bertugas sebagai penyampai radio, pemberita serta pengelola bahagian.

Allahyarham menghidap kanser paru-paru dan sakit buah pinggang sejak 2021, ketika bertugas di Stesen RTM Limbang, Sarawak.

Jenazah Allahyarham akan diuruskan di masjid Taman Sukma sebelum dikebumikan selepas solat zuhur hari ini di Tanah Perkuburan Islam Semariang.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tiga anak lelaki.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan