PGA Tumpas Sindiket Seludup Rokok, Tahan Tiga Individu Termasuk Warga Asing

07/08/2025 08:07 PM

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah menumpaskan sindiket penyeludupan rokok menerusi Op Taring Alpha 1 di Shah Alam, Selangor dengan rampasan dianggarkan bernilai RM10.3 juta.

Komander Briged Tengah SAC Hakemal Hawari berkata dalam operasi pada Isnin lepas itu, pihaknya menahan tiga individu termasuk dua warga asing berusia lingkungan 40 hingga 42 tahun. 

“Turut dirampas sejumlah rokok tidak bercukai pelbagai jenama, sebuah kenderaan jenis lori serta beberapa telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam aktiviti penyeludupan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hakemal berkata sindiket itu dikesan menjalankan kegiatan penyeludupan rokok di Selangor sejak kurang daripada sebulan lepas dan menggunakan lori bonded sebagai taktik untuk mengangkut barangan seludup.

Beliau berkata siasatan mendapati sindiket itu aktif pada waktu petang dan dipercayai menjadikan lokasi sekitar Shah Alam sebagai tempat simpanan rokok seludup.

Menurutnya kesemua tangkapan kini disiasat di bawah Akta Kastam 1967 (Akta 235) dan Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

“Pihak polis melalui PGA secara khusus akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab bagi menjaga keselamatan negara dan ketenteraman awam dengan penuh profesionalisme demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat Malaysia,” katanya.

Hakemal turut menyeru orang ramai agar membantu pihak berkuasa membanteras aktiviti penyeludupan dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti itu di kawasan masing-masing.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan