Oleh Ahmad Erwan Othman
KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Konsep bank masa atau time bank berpotensi menjadi pelengkap penting kepada usaha kerajaan menangani cabaran ekonomi dan sosial dalam pengurusan warga emas apabila Malaysia mencapai status negara menua menjelang 2043.
Pakar Ekonomi Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata model bank masa telah lama dipraktikkan di negara seperti Jepun, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Thailand, dan wajar diterokai Malaysia bagi mengoptimumkan sumbangan tenaga sukarela dalam kalangan masyarakat.
“Prinsip bank masa adalah mudah. Setiap jam perkhidmatan sukarela yang diberikan, sama ada menjaga warga emas, mengajar, membersih atau menyelenggara, akan dikreditkan ke dalam ‘akaun masa’.
“Apabila individu itu (pemilik akaun masa) berusia kelak, kredit masa itu boleh ditebus bagi mendapatkan perkhidmatan penjagaan atau bantuan daripada individu lain,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) memaklumkan bahawa kerajaan akan melaksanakan Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan (NAB) 2025–2045 sebagai panduan strategik untuk memastikan tiada kumpulan, termasuk warga emas, tercicir daripada arus pembangunan.
Inisiatif NAB itu merangkumi pembangunan sistem Penjagaan Jangka Panjang (LTC) yang lebih cekap, mudah diakses dan mampu milik, penggubalan undang-undang khusus untuk menyelaras peraturan penjagaan warga emas, serta penyediaan insentif perlindungan sosial dan faedah kepada penjaga. Selain itu, kurikulum TVET dalam bidang penjagaan juga akan diperluaskan.
Ahmed Razman yang juga Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS) Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata pelbagai variasi bank masa telah dilaksanakan di negara-negara Asia termasuk China, Jepun dan India. Thailand misalnya telah menubuhkan JitArsa Bank menerusi Department of Older Persons, khusus untuk membantu warga emas.
Katanya, konsep bank masa juga dapat membantu menangani kekurangan tenaga kerja akibat penurunan kadar kesuburan, sekali gus mengurangkan beban cukai kepada generasi bekerja yang nisbahnya semakin kecil berbanding warga emas.
“Malaysia telah melalui proses menua sejak 2021, dan dijangka menjadi negara tua seawal 2043, apabila 14 peratus penduduk berusia 65 tahun ke atas, kesan daripada peningkatan jangka hayat dan penurunan kadar kelahiran.
“Keadaan ini akan meningkatkan kos kesihatan yang perlu ditanggung kerajaan, malah generasi muda yang bekerja berisiko membayar cukai lebih tinggi. Maka, pelaksanaan bank masa dapat menjimatkan kos perkhidmatan penjagaan menerusi penebusan kredit masa,” katanya.
Tambahnya, gabungan konsep bank masa dan aset wakaf berpotensi membentuk satu ekosistem sokongan sosial yang lebih mampan dan lestari.
“Aset wakaf seperti tanah, bangunan, kenderaan dan dana tunai boleh digunakan untuk membina pusat komuniti, rumah persaraan atau kemudahan kesihatan. Operasi serta penyelenggaraan pula boleh dijalankan oleh ahli bank masa.
“Pendekatan ini dapat mengurangkan kos operasi dan dalam masa sama melibatkan lebih ramai rakyat dalam pengurusan aset wakaf. Ia juga memastikan warga emas mendapat penjagaan berkualiti tanpa membebankan fiskal kerajaan,” jelasnya.
Beliau menambah, gabungan kedua-dua konsep itu juga akan menggalakkan interaksi antara generasi, memupuk nilai hormat dan meningkatkan kesedaran tanggungjawab sosial.
“Sumbangan kepada masyarakat akan menjadi lebih menyeluruh apabila setiap individu dan korporat dapat menyumbang mengikut kemampuan, sama ada dalam bentuk tanah, bangunan, kenderaan, saham (sebagai wakaf) atau perkhidmatan seperti menjaga, menyelenggara, mencuci dan sebagainya, yang boleh dikreditkan sebagai masa,” katanya.
Menurutnya, individu atau syarikat yang tidak mempunyai aset tetap masih boleh menyumbang melalui perkhidmatan sukarela yang akan dikira sebagai kredit masa, manakala sumbangan tunai boleh digunakan untuk kos operasi dan pentadbiran aset wakaf, termasuk pembelian kelengkapan.
“Justeru, bank masa bukan sahaja dapat mengurangkan kos operasi aset wakaf, malah dapat melibatkan lebih ramai rakyat dalam pengurusan dan pelestariannya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan, sektor swasta, institusi agama dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk bekerjasama menghapuskan kerenah birokrasi, memperluas penglibatan belia, dan menyediakan pelan tindakan komprehensif bagi merealisasikan pelaksanaan bank masa di peringkat nasional.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial