SHAH ALAM, 7 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 50 pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) berpeluang mendekati kehidupan masyarakat luar bandar dan membina semangat kesukarelawan menerusi Program Kampung Angkat MADANI @ Jiwa Putra yang berlangsung di Kampung Sawah Sempadan, Tanjong Karang, dekat sini.
Program tiga hari anjuran Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) UPM itu melibatkan 25 keluarga angkat dan dipenuhi pelbagai aktiviti berteraskan komuniti termasuk pemindahan ilmu pertanian, keusahawanan, penanaman pokok dan pameran produk tempatan.
Pengarah PKPP Prof Madya Dr Mohd Mursyid Arshad berkata penglibatan aktif universiti bersama komuniti luar bandar menjadi bukti kepada peranan institusi pendidikan tinggi dalam menyokong pembangunan masyarakat.
“Program ini memperkukuh peranan universiti sebagai institusi yang sentiasa bersama rakyat dan kekal relevan dengan keperluan semasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam usaha memperluas jangkauan universiti kepada masyarakat, PKPP UPM turut menganjurkan “PUTRA MADANI: Longest Live Community Podcast”, siaran langsung audio siar selama 30 jam tanpa henti yang mengetengahkan perbincangan berkaitan pertanian, komuniti dan konsep Malaysia MADANI.
Mohd Mursyid berkata inisiatif tersebut membuka ruang komunikasi santai yang berkesan untuk menyampaikan hasrat kerajaan kepada rakyat.
“Kita mahu masyarakat memahami dan menghayati semangat Malaysia MADANI dalam konteks perpaduan, kemajuan dan penerokaan peluang baharu.
“Sebagai universiti berfokus pertanian, ini adalah platform untuk menyebarluaskan inovasi dan kepakaran kepada komuniti secara langsung,” katanya.
Pelajar Sarjana Muda Sains Pembangunan Manusia dengan Kepujian, Fakulti Ekologi Manusia (FEM) Amira Farhana Sallehuddin berkata beliau menyertai program tersebut semasa cuti semester kerana tertarik dengan konsep kampung angkat.
Menerusi program itu, beliau berkata pelbagai ilmu dapat dipelajari selain mengikuti slot motivasi dan aktiviti gotong-royong yang turut mengeratkan hubungan sesama rakan universiti dari fakulti berbeza.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Blok AGH, Zam Zaidi menyifatkan kehadiran mahasiswa UPM ke kampung tersebut sebagai pengalaman yang bermakna buat penduduk.
Beliau berkata “podcast” atau audio siar yang dianjurkan pada program itu turut memberi impak positif dalam memperkenalkan teknologi dan platform baharu.
“Masyarakat sekarang sudah celik IT (teknologi maklumat) dan sedar potensi podcast untuk mempromosikan produk serta mengetengahkan keunikan kampung kami yang juga berpotensi dalam ekopelancongan,” katanya.
Program Kampung Angkat MADANI @ Jiwa Putra adalah anjuran bersama Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) dan Pusat Strategik dan Perhubungan Korporat (PSPK) yang turut disokong oleh Fakulti Pertanian (FP), Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), serta Pusat Perhubungan Alumni (ARCUPM).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial