Ad Banner
 AM > BERITA

PMR 2025 Kelantan: Bas Mekar JPN Mudahkan Urusan Rakyat

07/08/2025 01:56 PM

KOTA BHARU, 7 Ogos (Bernama) -- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menyediakan perkhidmatan melalui Bas Mekar bagi memudahkan urusan pengunjung Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Kelantan, yang sedang berlangsung di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini.

Antara perkhidmatan yang ditawarkan ialah permohonan kad pengenalan 12 tahun, gantian kad pengenalan rosak atau hilang, pertukaran alamat, cetakan maklumat cip MyKad, serta cabutan daftar perkahwinan.

Jurucakap JPN Kelantan berkata pengunjung juga boleh melakukan urusan pendaftaran dan cabutan daftar kelahiran dan kematian serta permohonan MyKid.

Menurut jurucakap itu, perkhidmatan bas bergerak berkenaan beroperasi dari 9 pagi hingga 6 petang dengan setiap permohonan mengambil masa sekitar 30 minit untuk disiapkan.

“Permohonan kad pengenalan ini terbuka kepada mana-mana warganegara Malaysia untuk permohonan kali pertama, khususnya kanak-kanak berumur 12 tahun,” katanya kepada Bernama di Stadium Sultan Muhammad IV di sini hari ini.

Sementara itu, pengunjung Mohd Shahir Khassin, 38, dari Pengkalan Chepa, berkata dia mengambil peluang memperbaharui kad pengenalannya selepas cip kad berkenaan gagal dibaca semasa berurusan.

“Dengan adanya Bas Mekar JPN ini, urusan jadi lebih mudah dan menjimatkan masa, hanya perlu tunggu sekitar 30 minit untuk siap berbanding jika berurusan terus di pejabat JPN,” katanya.

Noraini Mat Isa, 35, dari Tumpat pula berkata dia berpeluang mendaftarkan kelahiran anak bongsunya yang berusia tiga minggu.

“Saya sangat bersyukur kerana tidak perlu ke pejabat JPN yang jauh dari rumah. Semua urusan siap dalam masa yang singkat, dan staf juga sangat membantu.

“Perkhidmatan seperti ini sangat memudahkan rakyat luar bandar seperti saya,” katanya.

PMR 2025 Kelantan membuka tirainya hari ini dengan pelbagai pengisian menarik termasuk lebih 100 perkhidmatan terus kepada rakyat, pameran teknologi terkini serta peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

Program selama tiga hari itu diterajui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), dan disokong oleh pelbagai kementerian serta agensi kerajaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan