Ad Banner
 AM > BERITA

PM Anwar Terima Kunjungan Hormat Menteri Pertahanan Kemboja, Thailand

07/08/2025 02:48 PM

PUTRAJAYA, 7 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat Menteri Pertahanan Kemboja Jeneral Tea Seiha, dan Pemangku Menteri Pertahanan Thailand Jeneral Natthaphon Narkphanit di pejabatnya di sini hari ini.

Anwar yang tiba pukul 9 pagi tadi, kemudiannya mengadakan pertemuan tertutup bersama kedua-dua menteri pertahanan itu yang turut disertai wakil kedua-dua negara.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.

Pertemuan yang berlangsung kira-kira 30 minit itu, antaranya membincangkan isu gencatan senjata dan Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC).

Sementara itu, dalam hantaran di Facebooknya, Anwar memaklumkan pertemuan dengan kedua-dua menteri pertahanan itu amat bermakna kerana semua pihak terlibat mencapai kesepakatan penting untuk meneruskan dialog dan mengekalkan gencatan senjata di sempadan Thailand-Kemboja yang bermula sejak 28 Julai lepas.

Anwar berkata kesepakatan itu mencerminkan iltizam bersama untuk menjunjung keamanan dan kestabilan serantau yang amat mustahak dalam landskap geopolitik masa kini.

“Saya menghargai keyakinan yang diberikan oleh Thailand dan Kemboja kepada Malaysia untuk terus menerajui rundingan damai dan memantau situasi di sempadan, khususnya melalui peranan penting Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.

“Alhamdulillah, kedua-dua negara turut mencapai beberapa persetujuan penting, termasuk komitmen untuk mematuhi sepenuhnya gencatan senjata tanpa sebarang bentuk serangan, tidak menambah kekuatan atau mengubah penempatan tentera, mengelak tindakan provokatif, serta menjamin perlindungan terhadap orang awam dan infrastruktur awam,” katanya.

Anwar berkata pertemuan itu turut membincangkan cadangan penempatan Pasukan Pemerhati ASEAN ( AOT) bagi membantu usaha pemantauan, bantuan kemanusiaan serta pengurusan perubatan di kawasan sempadan.

“Insya-Allah, saya dan seluruh pasukan Malaysia akan terus berusaha menyokong proses damai ini atas kepercayaan dan keyakinan bahawa keamanan yang berkekalan hanya boleh dicapai melalui dialog, persahabatan dan keikhlasan,” katanya.

Pada petang ini, delegasi Thailand dan Kemboja dijadual mengadakan Mesyuarat GBC Luar Biasa di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia berkaitan isu sempadan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan