MELAKA, 7 Julai (Bernama) -- Kerajaan Melaka akan melaksanakan Program Hari Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bersama Rakyat (HEBAT) bagi menyantuni masalah rakyat, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Beliau berkata menerusi program berkenaan, rakyat yang mempunyai sebarang masalah boleh berjumpa secara terus dengan Exco berkaitan bagi menyuarakan aduan mereka.
"Di samping kita mendengar rintihan dan keluhan rakyat, kita juga menyediakan pelbagai kemudahan daripada agensi kerajaan seperti kaunter bayaran cukai tanah.
"Program HEBAT ini akan dilaksanakan bermula 9 pagi hingga 4 petang setiap dua bulan sekali," katanya kepada pemberita pada program berkenaan yang diadakan pertama kali di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.
Ab Rauf berkata HEBAT berbeza dengan program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang dilaksanakan kerajaan negeri ketika ini membabitkan kesemua 28 Dewan Undangan Negeri (DUN).
-- LAGI
AB RAUF-HEBAT 2 (AKHIR) MELAKA
Beliau berkata WRUR lebih tertumpu kepada penyelesaian masalah di sesebuah lokaliti membabitkan penambahbaikan infrastruktur dan permohonan bantuan kebajikan.
"Menerusi WRUR, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu sendiri berfungsi sebagai wakil kepada rakyat dan disokong oleh kerajaan negeri dan portfolio-portfolio Exco.
"HEBAT pula menerima aduan rakyat daripada seluruh negeri dan Exco berkaitan akan cuba menyelesaikan sebaik mungkin permasalahan mereka," katanya.
-- BERNAMA
TAG: HEBAT, WRUR, Ab Rauf Yusoh, masalah, aduan, rakyat
FBA FBA HER
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial