DUNIA > BERITA

Thailand, Kemboja Hargai Peranan Malaysia Lancarkan Mesyuarat GBC

07/08/2025 10:44 PM

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Thailand dan Kemboja sekali lagi menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia atas peranan aktif sebagai pemudah cara proses perdamaian dalam menyelesaikan ketegangan di kawasan sempadan antara kedua-dua negara jiran itu, baru-baru ini.

Pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Nattaphon Narkphanit berkata usaha Malaysia dalam menyelaras dan memudah cara rundingan membolehkan kedua-dua pihak menyelesaikan isu berkenaan secara bersama, dengan sokongan ASEAN.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, serta Kementerian Pertahanan kerana berjaya menyelaras dan melancarkan mesyuarat ini.

“Pagi tadi, saya turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Kebangsaan Kemboja, Jeneral Tea Seiha. Perbincangan berlangsung dalam suasana mesra dan membina,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan bersama Mesyuarat Luar Biasa Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) bersama Jeneral Tea Seiha di Wisma Perwira, di sini hari ini.

Turut hadir sebagai pemerhati dalam mesyuarat itu ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar; Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard D. Kagan; dan Duta China ke Malaysia, Ouyang Yujing.

Mengulas lanjut, Nattaphon berkata dalam mesyuarat itu, Anwar menyatakan rasa puas hati terhadap kemajuan positif hasil perbincangan GBC dan menyifatkannya sebagai langkah penting ke arah penstabilan gencatan senjata.

Sementara itu, Jeneral Tea Seiha berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan Malaysia dan Thailand secara jujur dan ikhlas bagi memastikan pelaksanaan perjanjian gencatan senjata berjalan lancar.

“Kemboja menghargai peranan Malaysia dan komited menyelesaikan pertikaian ini melalui jalan damai, selaras dengan undang-undang antarabangsa dan Piagam ASEAN,” katanya.

Ketegangan memuncak sejak 28 Mei lepas berikutan insiden pertempuran di kawasan sengketa Preah Vihear yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.

Pada 28 Julai lalu, kedua-dua negara bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat susulan mesyuarat khas di Putrajaya yang dipengerusikan oleh Anwar.

Dalam mesyuarat itu, Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, bersetuju untuk mengadakan mesyuarat GBC sebagai sebahagian daripada pelaksanaan perjanjian gencatan senjata.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan