Ad Banner
 AM > BERITA

Berita-berita Ringkas Dewan Rakyat: 7 Ogos

07/08/2025 05:32 PM

ICQS RANTAU PANJANG GUNA MESIN PENGIMBAS BERTEKNOLOGI AI, KESAN PENYELUDUPAN BARANG TERLARANG

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, Kelantan kini dilengkapi dengan dua unit mesin pengimbas berteknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mempertingkat keberkesanan pemeriksaan bersepadu pelbagai agensi dalam mengesan penyeludupan barangan terlarang.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata penggunaan teknologi itu membolehkan proses saringan dilakukan dengan lebih cekap, namun setakat ini ICQS tersebut tidak mempunyai kemudahan pemeriksaan menggunakan mesin pengimbas kargo, memandangkan infrastruktur sedia ada tidak mampu menampung penempatan kemudahan tersebut dan pemeriksaan dilakukan secara fizikal. 

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memastikan cadangan penempatan kemudahan pemeriksaan melalui mesin pengimbas kargo ini dimasukkan dalam perancangan pembangunan semula Kompleks ICQS Rantau Panjang.

“Untuk makluman Yang Berhormat, kita ada cadangan pembangunan semula Kompleks ICQS Rantau Panjang. Setakat ini, kerajaan telah meluluskan sebanyak RM65.4 juta untuk pengambilan tanah bagi pembinaan Kompleks ICQS Rantau Panjang,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) yang ingin tahu perancangan KDN dalam menambah baik penggunaan sistem pengimbas X-Ray dan pengesan dadah di pintu sempadan Rantau Panjang bagi membanteras sindiket penyeludupan.

-- BERNAMA

 

LEBIH 14,000 SISWAZAH BUMIPUTERA BIDANG KEJURUTERAAN, SENI BINA

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Seramai 10,342 pelajar bumiputera menamatkan pengajian di peringkat ijazah pertama dalam bidang kejuruteraan, manakala 3,781 pelajar merupakan graduan bidang seni bina (arkitek) di universiti awam (UA) bagi tahun 2024.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata berdasarkan data terkini Sistem Maklumat Pengajian Tinggi Malaysia (MyMoheS), pada 2023, bilangan siswazah bumiputera dalam bidang kejuruteraan di UA adalah seramai 10,274 orang, manakala 3,327 pelajar pula dalam bidang seni bina.

Berhubung jumlah pemegang sijil profesional, beliau berkata bagi 2024, terdapat 35,760 jurutera bertauliah di negara ini, dengan 16,223 daripadanya adalah bumiputera.

“Sementara itu, daripada keseluruhan 2,062 arkitek bertauliah yang berdaftar pada tahun sama, seramai 1,066 orang merupakan bumiputera,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) di Dewan Rakyat hari ini.

Saifuddin ingin tahu jumlah dan prestasi pelajar Melayu atau bumiputera yang menamatkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang profesional seperti kejuruteraan dan seni bina, serta bilangan yang melanjutkan pengajian sehingga memperoleh sijil profesional Ir dan Ar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan