PUTRAJAYA, 7 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara (KPN) memperkenalkan Kempen Taat Setia Rukun Negara sempena ulang tahun ke-55 Rukun Negara pada tahun ini.
KPN dalam kenyataan hari ini memaklumkan kempen berkenaan bertujuan memperkukuh perpaduan nasional menerusi penghayatan prinsip-prinsip Rukun Negara, menggalakkan rakyat terutamanya generasi muda agar terus berpegang kepada asas pembentukan negara serta mempertingkat kesedaran awam mengenai kepentingan taat setia kepada negara dan Perlembagaan Persekutuan.
Menurut KPN, semua rakyat Malaysia yang berada di dalam negara mahupun luar negara digalakkan untuk mengambil bahagian dalam kempen ini dengan memuat naik video dan gambar berkaitan Rukun Negara sepanjang bulan Ogos hingga 16 Sept ini dengan menggunakan tanda pagar #TaatSetiaRukunNegara dan #55TahunRukunNegara di platform media sosial masing-masing.
"KPN berharap melalui Kempen Taat Setia Rukun Negara ini, rakyat Malaysia akan lebih menghargai, memahami dan menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara sebagai asas perpaduan dan keharmonian negara seterusnya membentuk masyarakat MADANI yang progresif, inklusif dan berintegriti," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang dalam kenyataan sama berkata KPN akan melaksanakan 11 inisiatif untuk meningkatkan penghayatan Rukun Negara sebagai wadah penyatupaduan rakyat Malaysia sepanjang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.
Beliau berkata antara program yang dilaksanakan ialah Konvensyen Sekretariat Rukun Negara, Sambutan Anak Merdeka 31 Ogos, Program Malaysiaku Merdeka, Jejak Merdeka Gen Z, Pertandingan Pidato Rukun Negara dan Kembara Harmoni Merdeka.
"Rukun Negara ialah asas kepada usaha memperkukuh perpaduan, menjamin kestabilan serta membina masa depan negara yang lebih mampan.
“Ia mencerminkan komitmen dan aspirasi nasional untuk membentuk sebuah masyarakat yang bersatu padu, adil, saksama, demokratik dan progresif,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial