Ad Banner
 AM > BERITA

Pesawat Latihan Tergelincir Di LTAM, Juruterbang Cedera Ringan

07/08/2025 06:08 PM

MELAKA, 7 Ogos (Bernama) -- Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan insiden membabitkan sebuah pesawat latihan ringan jenis Piper PA-28-181 dengan nombor pendaftaran 9M-SKR yang tergelincir ketika mendarat di Lapangan Terbang Melaka (LTAM) hari ini.

Dalam kenyataan, CAAM memaklumkan bahawa pesawat yang dikendalikan oleh Malaysian Flying Academy Sdn. Bhd. (MFA) itu terbabit dalam kejadian kira-kira pukul 2.55 petang.

"Pesawat berkenaan yang sedang melakukan penerbangan latihan telah mendarat sebelum tergelincir dari landasan.

"Juruterbang yang terlibat mengalami kecederaan ringan dan kini sedang menerima rawatan perubatan. Kerja-kerja pengalihan pesawat serta pemeriksaan menyeluruh landasan telah dilaksanakan bagi memastikan keselamatan operasi di lapangan terbang itu,” menurut kenyataan tersebut.

CAAM turut memaklumkan siasatan keselamatan akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia, selaras dengan Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Saad Md Kassim berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.15 petang.

"Seramai tujuh anggota bergegas ke lokasi dan tiba tujuh minit kemudian. Setibanya di lokasi, kami dimaklumkan bahawa pesawat telah dibawa ke bengkel. Selepas memastikan tiada lagi bahaya di landasan, kami beredar dari tempat kejadian," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan