DUNIA > BERITA

Indonesia Rancang Salur Bantuan Perubatan Kepada 2,000 Mangsa Perang Gaza

07/08/2025 09:11 PM

JAKARTA, 7 Ogos (Bernama-Xinhua) -- Presiden Indonesia Prabowo Subianto telah mengarahkan kerajaan untuk menyediakan bantuan perubatan kepada kira-kira 2,000 penduduk Gaza yang cedera akibat konflik berterusan, kata Ketua Pejabat Komunikasi Presiden Indonesia Hasan Nasbi pada Khamis, lapor Xinhua.

“Berkaitan Gaza, semalam Presiden mengarahkan supaya bantuan perubatan diberikan kepada kira-kira 2,000 mangsa perang Gaza - mereka yang cedera akibat letupan bom, serpihan atau sebab-sebab lain,” katanya pada sidang media di Pejabat Komunikasi Presiden.

Menurut Nasbi, kerajaan telah memilih kemudahan kesihatan di Pulau Galang, Wilayah Kepulauan Riau untuk pelaksanaan rawatan kerana ia dilihat memiliki keupayaan yang mencukupi. Arahan itu  dikeluarkan Prabowo semasa Mesyuarat Kabinet pada Rabu.

Nasbi menegaskan bahawa inisiatif itu bukan satu usaha pemindahan penduduk, sebaliknya merupakan sebahagian daripada misi kemanusiaan untuk memberi rawatan sementara kepada mangsa. Setelah pulih, mereka akan dihantar pulang ke Gaza.

“Kita bukan memindahkan penduduk, tetapi menjalankan operasi kemanusiaan untuk membantu seramai mungkin,” kata Nasbi.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan