KOTA BHARU, 7 Ogos (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memperkukuh kerjasama dengan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menerusi Program MyLesen B2 bagi membantu pelajar daripada keluarga B40 memiliki lesen memandu motosikal.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan & Operasi) JPJ Datuk Jazmanie Shafawi berkata program yang bermula Feb lepas merupakan inisiatif kerajaan untuk meringankan beban kewangan pelajar B40 selain meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan generasi muda.
“Di Kelantan sahaja, 1,000 pelajar daripada tujuh IPTA telah menerima lesen motosikal kelas B2 secara percuma bagi fasa pertama program ini.
“Untuk fasa kedua yang bermula Ogos hingga Nov depan, sebanyak 650 slot lagi diperuntukkan kepada pelajar IPTA di Kelantan daripada keseluruhan 10,000 slot di seluruh negara seperti diumumkan Menteri Pengangkutan Anthony Loke pada 10 Julai,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Lesen Memandu MyLesen B2 kepada 1,000 pelajar IPTA di Politeknik Kota Bharu di sini hari ini.
Institusi terlibat dalam fasa pertama pelaksanaan program ini ialah Politeknik Kota Bharu, Politeknik Jeli, GiatMARA Negeri Kelantan, Kolej Komuniti Jeli, Kolej Komuniti Kok Lanas, Kolej Komuniti Pasir Mas dan Kolej Kemahiran Tinggi Pasir Mas dengan kerjasama 15 institut memandu di seluruh negeri.
Secara keseluruhan, sebanyak 15,000 slot telah diperuntukkan untuk fasa pertama program ini di seluruh negara, manakala 10,000 slot lagi bagi fasa kedua.
Dalam perkembangan berkaitan, Jazmanie turut memaklumkan sebanyak 1,415 tindakan telah diambil terhadap pemandu dan penumpang bas ekspres serta bas persiaran yang gagal mematuhi pemakaian tali pinggang keledar menerusi Op Tali Pinggang sejak bulan lepas.
“Daripada jumlah itu, 244 kes direkodkan di Kelantan. Antara kesalahan utama ialah penumpang tidak memakai tali pinggang keledar (1,305 kes), pemandu (89 kes) serta kenderaan yang tidak memasang sistem tali pinggang keledar (26 kes),” katanya.
Beliau berkata penguatkuasaan ini akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai langkah memastikan pematuhan terhadap ciri keselamatan kenderaan dan mengurangkan risiko kemalangan yang membabitkan nyawa.
“JPJ menyeru semua pemandu dan penumpang bas ekspres serta bas persiaran agar sentiasa mematuhi peraturan ini serta memastikan sistem tali pinggang keledar dalam kenderaan berfungsi dengan baik,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial