Ad Banner
 AM > BERITA

Lebih 4,000 Peserta Sertai Jelajah Kayuhan Solidariti ASEAN 2025

09/08/2025 11:37 AM

KUALA TERENGGANU, 9 Ogos (Bernama) -- Lebih 4,000 peserta termasuk dari negara ASEAN menyertai program Jelajah Kayuhan Solidariti ASEAN 2025 berlangsung di Dataran Batu Buruk, di sini hari ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim berkata program merangkumi acara berbasikal dan larian itu bukan sahaja bertujuan membudayakan gaya hidup sihat malah memperkukuh hubungan serantau ASEAN.

“Ini merupakan satu tanda bahawa sukan adalah penyatu bagi bukan sahaja masyarakat Malaysia secara amnya tetapi juga bagi hubungan serantau kita di bawah payung ASEAN,” katanya kepada pemberita selepas melepaskan peserta Jelajah Kayuhan Solidariti ASEAN 2025 di Dataran Batu Buruk, di sini hari ini.

Beliau berkata Terengganu dipilih sebagai lokasi penganjuran kerana negeri itu sering mendominasi acara berbasikal serta melahirkan ramai atlet cemerlang dalam sukan itu.

Adam Adli berkata meskipun ia diadakan sekali sahaja sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia pada tahun ini namun pihaknya akan mempertimbangkan dan berharap agar acara seumpama ini dapat diadakan lagi pada masa hadapan.

Sementara itu peserta dari Kemboja, Kloth Karaney, 39, berkata program tersebut antara lain dapat mempromosikan lokasi pelancongan menarik di negara ASEAN terutama Malaysia.

“Menerusi acara berbasikal ini juga kita boleh bergaul dengan baik selain mengeratkan hubungan sesama negara anggota ASEAN,” katanya.

Peserta dari Vietnam Tran Chong Thai, 36, berkata ini merupakan kunjungan pertamanya ke Malaysia dan Terengganu, serta dia akan mempromosikan negara ini sebagai lokasi pelancongan menarik kepada rakan-rakan di Vietnam apabila pulang ke tanah air nanti.

“Saya suka bandar ini (Kuala Terengganu). Acara ini bagus dan makanan di sini juga sedap. Saya akan cadangkan kepada kawan-kawan untuk datang ke sini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan