Polis Giat Kesan Dua Suspek Pergaduhan Bersenjata Di Brickfields

09/08/2025 06:30 PM

KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Polis sedang giat mengesan dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam insiden pergaduhan bersenjata di hadapan sebuah pusat hiburan di Jalan Tun Sambanthan, di sini awal pagi tadi yang menyebabkan dua individu cedera.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Ku Mashariman Ku Mahmood berkata kedua-dua suspek yang berumur awal 30-an itu sudah dikenal pasti.

“Pihak polis juga meminta suspek untuk menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Ku Mashariman berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 2.15 pagi yang mengatakan berlaku pertengkaran antara mangsa dengan dua suspek itu di hadapan pusat hiburan di Jalan Tun Sambanthan.

Katanya, dalam pertengkaran itu, dua lelaki berumur 33 dan 47 tahun cedera selepas diserang oleh suspek berkenaan menggunakan parang dan batang besi.

Menurut Ku Mashariman, kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah menggunakan senjata," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan