JOHOR BAHRU, 9 Ogos (Bernama) -- Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru menanggung kos tiket feri dan cukai pelabuhan bagi 77 Warga Negara Indonesia/Pekerja Migran Indonesia (WNI/PMI) yang dihantar pulang dari Malaysia ke Batam, Kepulauan Riau, hari ini, sempena sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) ke-80 Kemerdekaan Republik Indonesia.
Menurut kenyataan KJRI, pemulangan itu dilaksanakan dengan kerjasama Depot Tahanan Imigresen (DTI) Machap Umboo, Melaka, membabitkan 71 WNI/PMI terdiri daripada 35 lelaki, 34 wanita dan dua kanak-kanak perempuan, termasuk enam dalam kategori rentan.
Enam lagi WNI/PMI rentan yang telah selesai menjalani proses imigresen turut dibantu pulang, melibatkan dua lelaki, tiga wanita dan seorang kanak-kanak lelaki, menjadikan keseluruhan sebanyak 77 orang.
“Kami merancang tiga kumpulan pemulangan melibatkan tiga depot tahanan berbeza, dengan setiap kumpulan sebanyak lebih kurang 80 orang,” kata Konsul KJRI Johor Bahru, Jati Heri Winarto.
Proses penghantaran dikendalikan Pasukan Tugas (Satgas) Pelayanan dan Pelindungan KJRI Johor Bahru melalui Terminal Feri Stulang Laut, di sini ke Pelabuhan Batam Centre, Batam, Indonesia pada 11 pagi waktu Malaysia.
Setibanya di Batam, semua WNI/PMI diserahkan kepada Pusat Pelayanan Pekerja Migran Indonesia (P4MI) Batam untuk proses pemulangan lanjut ke daerah asal masing-masing.
KJRI mengingatkan bahawa Malaysia sebagai antara destinasi utama pekerja migran Indonesia, mempunyai peraturan imigresen dan tenaga kerja asing yang semakin ketat, justeru rakyatnya disaran mengikuti prosedur pengambilan dan penempatan pekerja secara rasmi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial