BUKIT MERTAJAM, 12 Ogos (Bernama) -- Polis meminta bantuan orang ramai yang menyaksikan atau mempunyai rakaman papan pemuka kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal di Kilometer 4.8 Jambatan Pulau Pinang arah Perai di sini, petang tadi supaya tampil membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Helmi Aris berkata kejadian dimaklumkan kepada kaunter aduan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) pada 2 petang, melibatkan seorang lelaki berusia 65 tahun.
“Siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari George Town menghala ke Butterworth dan ketika tiba di lokasi, motosikal ditungganginya dipercayai telah bergesel dengan kenderaan lain sebelum terjatuh serta digilis sebuah kenderaan berat.
“Mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Helmi memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian.
Beliau berkata orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat kes Insp S. Saravanan melalui talian 016-4525105 atau hadir di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Kejadian tersebut turut tular di media sosial petang tadi yang memaparkan tubuh mangsa dalam keadaan tidak sempurna di atas jalan raya bersama motosikalnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial