Ad Banner
 AM > BERITA

Muhamad Hanan Dapat Kerja Di Proton Selepas Sertai Temu Duga MyFutureJobs

09/08/2025 08:49 PM

KOTA BHARU, 9 Ogos (Bernama) -- Rezeki tidak diduga buat anak sulung daripada tiga beradik, Muhammad Hanan Che Mansor, 23, apabila dia terus ditawarkan pekerjaan di Proton Holdings Berhad (Proton) selepas menghadiri temu duga MyFutureJobs pada Program MADANI Rakyat 2025 di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini.

Berasal dari Kampung Kuala Balah, Jeli, Muhammad Hanan berkata dia mengetahui peluang temu duga itu daripada ibunya yang berkongsikan pautan berhubung program berkenaan.

"Saya nekad datang ke sini (Kota Bharu) dengan motosikal, mengharungi perjalanan sejauh 120 kilometer untuk mencuba nasib.

"Alhamdulillah, berkat usaha saya, saya ditawarkan pekerjaan di Proton sebagai operator dan akan melaporkan diri minggu depan di Tanjung Malim, Perak,” katanya kepada Bernama hari ini.

Muhammad Hanan berkata sebelum ini dia tidak bekerja kerana perlu menjaga bapanya yang berusia 76 tahun akibat sakit tua.

"Saya sangat gembira kerana mendapat pekerjaan di syarikat automotif itu. Program seperti ini amat membantu khususnya bagi golongan muda di negeri ini untuk mencari pekerjaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan Nora Yaacob berkata program MyFutureJobs yang diadakan selama tiga hari bermula Khamis melibatkan penyertaan sembilan syarikat dengan sebanyak 854 jawatan ditawarkan.

"Sepanjang dua hari, sebanyak 154 individu sudah ditawarkan pekerjaan di sembilan syarikat yang bekerjasama dengan Perkeso.

"Jawatan ditawarkan kebanyakannya di luar Kelantan, jadi program ini sedikit sebanyak membantu rakyat negeri ini mencari peluang pekerjaan,” katanya.

PMR 2025 Kelantan melabuhkan tirainya hari ini selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan majlis penutup program itu petang tadi.

Program yang berlangsung selama tiga hari sejak Khamis diterajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), serta disokong pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.

Sepanjang penganjuran, PMR 2025 Kelantan menawarkan lebih 100 perkhidmatan terus kepada rakyat, mempamerkan teknologi terkini dan melaksanakan pelbagai inisiatif mendekati masyarakat menerusi pendekatan menyeluruh Kerajaan MADANI.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan