PUTRAJAYA, 6 Ogos (Bernama) -- Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) akan memperluas Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang ke sektor industri dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam usaha menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025.
Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat JAPEN Muhammad Najmi Mustapha berkata kerjasama itu akan menumpukan kepada stesen minyak dan pasar raya terpilih di sekitar Lembah Klang, yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Kita (JAPEN) akan perluas kempen ini bukan sahaja di agensi kerajaan, tetapi juga di sektor industri dengan kerjasama KPDN.
“Bersama KPDN, kita akan memilih lokasi strategik seperti stesen minyak dan pasar raya terpilih bagi pemasangan Jalur Gemilang,” katanya kepada pemberita selepas program Penyerahan Kit Jalur Gemilang daripada JAPEN kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya di sini hari ini.
Beliau berkata Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang diadakan bagi menyemarakkan semangat cintakan negara dalam kalangan penduduk sekali gus memastikan semangat patriotisme sentiasa berada pada tahap tertinggi.
Muhammad Najmi berkata kempen itu telah bermula selepas Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan 2025 dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Muar, Johor pada 27 Julai lepas, dan akan diadakan hingga 16 Sept ini.
“Kita bukan hanya jalankan di kawasan Putrajaya sahaja, tetapi juga di seluruh negara melalui JAPEN negeri bersama-sama 1,878 Komuniti MADANI di seluruh negara,” katanya menambah antara 200 hingga 300 Jalur Gemilang akan diedarkan di setiap lokasi.
Sementara itu, Ketua Balai Polis Presint 11 Sub Inspektor Amir Jaafar berkata kempen dengan kerjasama JAPEN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu menjadi platform yang bukan sahaja menyemarakkan semangat patriotisme, malah merapatkan hubungan antara PDRM dan agensi kerajaan.
Beliau berkata program hari ini diserikan dengan penglibatan PDRM yang berkonvoi bersama JAPEN sejauh 6.8 kilometer bermula dari IPD Putrajaya hingga ke Balai Polis Presint 11, yang diadakan sebagai simbolik kepada 68 tahun negara mencapai kemerdekaan.
Amir berkata semua 48 unit kediaman anggota polis di kuarters Balai Polis Presint 11 telah dipasang Jalur Gemilang, sejak bulan lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial