Ad Banner
 AM > BERITA

PMR 2025 Kelantan Melabuhkan Tirai, Tinggalkan Inspirasi Teknologi Kepada Rakyat

10/08/2025 01:14 AM

KOTA BHARU, 9 Ogos (Bernama) -- Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 di Kelantan secara rasmi melabuhkan tirai hari ini selepas tiga hari pameran dan pelbagai aktiviti yang menyuntik inspirasi terutama dalam bidang teknologi terkini.

Program anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) itu diadakan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV dan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sepanjang program berlangsung sejak Khamis lepas, pengunjung berpeluang melihat pameran inovasi tempatan, demonstrasi teknologi hijau, bengkel keusahawanan teknologi serta sesi interaktif bersama saintis dan pencipta muda negara.

Pengunjung Ahmad Khalis Rayyan Khairulzaman, 19, dari Tumpat berkata beliau teruja melihat kreativiti pelajar tempatan terutama robot ‘Kancil’ yang dipamerkan di Pavilion MOSTI. 

Menurutnya, pameran itu bukan sahaja membuka minda generasi muda malah memberikan motivasi kepada semua untuk lebih celik teknologi.

“Program ini sangat bermakna kerana kami dapat mengenali teknologi yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian dan perniagaan,” katanya.

Usahawan muda dari Bachok, Mohd Haziq Ahmad, 27, memuji inisiatif kerajaan memperkenalkan sokongan teknologi kepada pengusaha kecil dan sederhana (PKS).

“Melalui program ini, kami mendapat peluang untuk memahami teknologi terkini serta maklumat mengenai geran dan latihan keusahawanan yang sangat berguna,” katanya.

Penjawat awam Wan Badri Wan Omar, 52, pula melihat PMR 2025 sebagai selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang bertujuan memastikan pembangunan negara berteraskan kemajuan teknologi yang inklusif demi kesejahteraan rakyat.

PMR 2025 dijangka diteruskan di negeri-negeri lain bagi memperluas capaian teknologi dan peluang pembangunan kepada lebih ramai rakyat sekali gus meningkatkan taraf hidup masyarakat di seluruh negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan