Ad Banner
 AM > BERITA

Tiada Perubahan Terhadap Kategori Kenderaan Dikenakan Tol - LLM

10/08/2025 10:52 AM

PUTRAJAYA, 10 Ogos (Bernama) -- Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menegaskan tiada sebarang perubahan terhadap kategori kenderaan yang dikenakan tol pada masa ini, termasuk bagi penunggang motosikal. 

Kenyataan itu sekali gus menafikan dakwaan bahawa penunggang motosikal akan mula membayar tol mulai Oktober ini seperti yang dimuat naik oleh pemilik akaun media sosial ‘ebidmotor.com’ semalam.

Dalam kenyataan hari ini, LLM menyifatkan hantaran tersebut sebagai maklumat tidak benar yang mengelirukan orang ramai serta berpotensi mencetuskan kebimbangan tidak berasas dalam kalangan penunggang motosikal, selain menjejaskan reputasi kerajaan, Kementerian Kerja Raya (KKR), LLM dan syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat.

“Untuk makluman, syarikat konsesi PLUS Malaysia Berhad kini sedang menjalankan ujian sistem tol terbuka menggunakan teknologi Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR).

“Sekiranya ujian ini berjaya, pelaksanaannya akan dilakukan secara berperingkat di lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Berhad,” kata kenyataan itu.

Menurut LLM, objektif utama pelaksanaan sistem tersebut adalah untuk melancarkan aliran trafik, meningkatkan keselesaan pengguna dan mengurangkan kesesakan di plaza tol.

Justeru, LLM menggesa orang ramai, khususnya pengguna lebuh raya bertol, agar tidak mempercayai atau menyebarkan maklumat palsu yang mengelirukan atau bersifat hasutan dan merujuk kepada sumber rasmi pihak berkuasa.

Hantaran di laman Facebook tersebut, setakat 10 pagi ini, telah menerima pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial termasuk 2,000 komen dan 568 perkongsian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan