JAKARTA, 11 Ogos (Bernama-XINHUA) -- Semua laluan mendaki di Gunung Rinjani, yang terletak di Pulau Lombok, wilayah Nusa Tenggara Barat, Indonesia, dibuka semula pada Isnin dengan langkah keselamatan dipertingkat dan sistem pengurusan dinaik taraf. Pembukaan semula itu dibuat selepas penutupan selama 10 hari susulan kemalangan mendaki yang meragut nyawa dan satu lagi insiden melibatkan pendaki asing yang cedera, lapor Xinhua memetik Pejabat Taman Negara Gunung Rinjani (TNGR).
Keputusan pembukaan semula itu dibuat selepas penilaian intensif dan penambahbaikan terhadap semua laluan serta prosedur pengurusan pendakian bagi meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengunjung, kata Ketua TNGR, Yarman seperti dipetik media tempatan pada Isnin.
Enam destinasi pendakian dibuka semula, termasuk satu laluan yang sebelum ini rosak tetapi kini telah dibaiki, jelas Yarman.
“Laluan mendaki di kawasan ini telah diperbaiki untuk meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengunjung. Kami mahu memastikan piawaian keselamatan dipatuhi sebelum aktiviti pendakian dibuka semula,” katanya.
Beberapa perubahan telah dilaksanakan melalui pindaan prosedur operasi pendakian. Antaranya termasuk pengelompokan laluan, pelarasan nisbah pemandu kepada pendaki, pelaksanaan sistem insurans, dan penyediaan pelan kontingensi keselamatan, tambah Yarman.
TNGR juga mewajibkan pendaki membeli tiket secara dalam talian melalui aplikasi rasmi.
“Langkah ini bertujuan mengawal kuota pendakian dan memudahkan pengawasan. Penilaian berkala akan dijalankan untuk memastikan peraturan baharu ini berkesan,” katanya.
-- BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial