Ad Banner
 AM > BERITA

Lapor Pendapatan Dengan Betul Bagi Mudahkan Bayaran Balik Cukai - LHDN

12/08/2025 03:52 PM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Pembayar cukai perlu melaporkan pendapatan dengan betul melalui e-Filing di Portal MyTax atau borang manual di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) bagi memastikan proses bayaran balik cukai berjalan lancar jika ada lebihan yang perlu dipulangkan.

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pungutan Hasil LHDN Masnudiah Abdullah berkata langkah itu penting bagi memastikan lebihan cukai yang telah dibayar dapat dipulangkan dalam tempoh yang ditetapkan, selaras dengan Piagam Pelanggan LHDN iaitu 30 hari bekerja selepas e-Filing dihantar.

“Bayaran balik cukai ini bukan hadiah atau bonus daripada LHDN, ia adalah hak pembayar cukai yang telah patuh dengan undang-undang percukaian dan tanggungjawab pembayar cukai adalah untuk memastikan mereka melaporkan pendapatan dengan betul,” katanya dalam program Klinik Cukai terbitan Bernama Radio dengan topik ‘Ketahui Hak Anda: Bayaran Balik Cukai’, hari ini.

Beliau berkata bayaran balik cukai berlaku apabila jumlah cukai dibayar atau dipotong melebihi jumlah sebenar dikenakan, antaranya potongan cukai bulanan (PCB) lebih tinggi daripada cukai sebenar, tuntutan pelepasan cukai, atau pendapatan perniagaan yang lebih rendah daripada anggaran CP500 atau CP204.

Masnudiah berkata proses bayaran balik bermula apabila pembayar cukai mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) melalui borang manual atau sistem e-Filing yang akan mengira cukai secara automatik dan memaklumkan kelayakan bayaran balik pengguna.

“Kelewatan bayaran balik juga masih boleh berlaku disebabkan beberapa faktor seperti maklumat akaun bank tidak lengkap, tidak sah atau tidak aktif, pembayar cukai mempunyai tunggakan cukai tahun sebelumnya dan akaun bank yang didaftarkan tidak sesuai atau tidak dimiliki hingga memerlukan semakan lanjut.

“Sebagai contoh, walaupun pembayar cukai layak mendapat bayaran balik cukai untuk 2024, jika masih ada baki cukai tertunggak untuk 2023, jumlah bayaran balik tersebut akan digunakan untuk menyelesaikan baki tunggakan itu terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata kaedah utama bayaran balik ialah melalui pindahan dana elektronik (EFT) terus ke akaun bank pembayar cukai atau kaedah DuitNow yang telah didaftarkan bersama nombor kad pengenalan atau pasport pada akaun bank yang sah, atau cek yang dihantar ke alamat surat-menyurat.

Dalam pada itu, Masnudiah berkata pembayar cukai yang telah meninggal dunia juga boleh menerima bayaran balik, iaitu waris, wasi atau pentadbir harta pusaka berhak membuat tuntutan dengan mengemukakan salinan Surat Pentadbir Harta Pusaka yang disahkan Pesuruhjaya Sumpah, Majistret Mahkamah atau pegawai kerajaan kategori A.

“Langkah ini bukan sahaja untuk mematuhi peraturan, tetapi juga untuk memastikan kepentingan semua waris dilindungi dan dengan cara ini, bayaran balik cukai dapat disalurkan kepada pihak yang benar-benar berhak,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pembayar cukai supaya sentiasa memeriksa status bayaran balik melalui Portal MyTax dan mengemas kini butiran akaun bank melalui perkhidmatan e-Kemaskini serta menyemak sebarang tunggakan cukai di e-Lejar.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web rasmi LHDN di https://www.hasil.gov.my atau menghubungi HASiL Care Line di 03-8311 1000 termasuk menggunakan Live Chat atau mengunjungi pejabat LHDN yang mengendalikan fail cukai.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan