KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian provokasi dan rempuhan terhadap pihak polis oleh peserta perhimpunan dan penyerahanan memorandum di Jalan Parlimen di sini, hari ini, seperti yang tular di media sosial.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata pihaknya mengesan video tular terbabit di aplikasi TikTok hari ini memaparkan peserta perhimpunan membuat provokasi dan merempuh anggota polis yang sedang bertugas mengawal keselamatan.
Menurutnya satu laporan polis dibuat berhubung kejadian itu.
“Akibat daripada rempuhan yang berlaku, seorang pegawai polis telah mengalami kecederaan dan telah mendapatkan rawatan.
“Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 353/427 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadil berkata pihaknya menghormati hak rakyat untuk menyuarakan pandangan serta berhimpun secara aman dan tertib, selaras dengan nilai-nilai demokrasi yang diamalkan di negara ini dan komited untuk memainkan peranan sebagai pemudah program seperti itu.
“Peruntukan ini adalah di bawah Perlembagaan Persekutuan dan seharusnya digunakan secara baik dan berhemah...tindakan tegas akan diambil terhadap individu atau kumpulan yang mencetuskan kekacauan atau provokasi melampau,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial