Ad Banner
 AM > BERITA

Ikan, Udang Di Perairan Port Dickson Selamat Dimakan

12/08/2025 04:17 PM

PORT DICKSON, 12 Ogos (Bernama) -- Ikan, udang, dan sotong di perairan Port Dickson selamat dimakan walaupun penternak kupang di kawasan itu dinasihatkan tidak mengutip, mengambil atau menuai kupang atau kerang-kerangan buat masa ini.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan (JPNS) Kasim Tawe berkata hidupan laut yang bergerak seperti ikan dan udang masih selamat untuk dimakan berikutan spesies itu mencari makanan sendiri berbanding kerang dan kupang yang kebanyakkannya diternak.

"Ikan, udang atau spesies yang bergerak tidak berbahaya tetapi kupang dan kerang berbahaya sebab ia diternak, hidupan ini menyerap makanan daripada air laut untuk disimpan.

"Keupayaaan kerang dan kupang ini menyimpan toksin di badan mereka adalah lebih tinggi dan jika berlebihan boleh menyebabkan keracunan serta menjejaskan kesihatan manusia," katanya kepada pemberita selepas proses mengambil sampel ke dua air laut di perairan Port Dickson di sini hari ini.

Kasim berkata ledakan alga ini berpunca daripada faktor semula jadi di laut, khususnya perubahan cuaca yang ketara berlaku pada pertengahan tahun ini.

Beliau berkata pada penghujung Julai dan Ogos ini keadaan cuaca panas telah meningkatkan kandungan nutrien dalam air, seterusnya mendorong berlakunya ledakan alga.

"Bagaimanapun, kita telah menasihatkan kepada hampir 100 penternak kupang dan pencari kerang di perairan Port Dickson supaya menghentikan sementara aktiviti mencari, mengambil atau menuai kerang-kerangan termasuk kupang.

"Keputusan sampel kedua akan keluar pada Khamis ini dan kita akan maklumkan langkah seterusnya  berdasarkan bacaan sampel kedua ini nanti," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan JPNS akan melakukan pensampelan kedua bagi kupang dan kerang-kerangan di perairan Port Dickson susulan bacaan biotoksin melebihi paras selamat dikesan dalam sampel pertama.

Kasim berkata keputusan ujian makmal dari Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur (PBPKL) pada minggu lepas mendapati bacaan biotoksin melebihi 800 per bilion (ppb), menjadikan makan laut itu tidak selamat untuk dimakan kerana boleh menyebabkan masalah kesihatan.

Media sebelum ini melaporkan agensi itu menasihatkan nelayan di perairan Port Dickson tidak mengutip, mengambil atau menuai kerang-kerangan termasuk kupang buat sementara waktu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan