Ad Banner
 AM > BERITA

Reformasi Perkhidmatan Awam Bawa Manfaat, Perlu Dinikmati Rakyat - KSN

12/08/2025 04:16 PM

PUTRAJAYA, 12 Ogos (Bernama) -- Reformasi perkhidmatan awam yang dilaksanakan sejak setahun lepas menunjukkan pencapaian ketara apabila kedudukan Malaysia dalam Daya Saing Dunia IMD melonjak daripada tangga ke-34 kepada ke-23 pada 2025, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau berkata peningkatan ketara itu, antaranya didorong oleh faktor kecekapan kerajaan yang meningkat lapan anak tangga daripada kedudukan ke-33 kepada 25 pada tahun lepas susulan hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif pembaharuan.

"Kebanyakan pencapaian ini banyak didorong oleh forum yang dipanggil STAR (Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi). Ia satu forum yang membincangkan kaedah untuk menambah baik perkhidmatan awam dan penyampaian kepada rakyat.

"Penambahbaikan ini satu usaha yang berterusan. Jadi setiap masa kita perlu memperbaik, garis masa ialah sekadar nombor, yang penting penambahbaikan itu dapat dirasai rakyat dan memberi manfaat kepada rakyat," katanya kepada media selepas sesi "Reformasi Satu Kemestian" Bersama KSN sempena setahun reformasi perkhidmatan awam di sini hari ini. 

Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz serta kira-kira  1,000 penjawat awam.

Shamsul Azri berkata antara kejayaan yang dicapai termasuk mempercepat proses kelulusan pihak berkuasa tempatan, antaranya Majlis Perbandaran Kulim yang berjaya mengurangkan tempoh kelulusan daripada 22 bulan kepada 11 bulan, manakala Majlis Perbandaran Kulai turut mencatat peningkatan prestasi yang serupa.

Beliau berkata melalui STAR, kerajaan melaksanakan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) dengan 160 inisiatif penambahbaikan telah dilaksanakan setakat ini, yang memberi manfaat langsung kepada rakyat dan negara.

Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) menekankan lima fokus utama, iaitu membangunkan modal insan berkualiti, menghayati nilai-nilai murni, pembangunan organisasi dinamik, memperkukuh kerjasama awam dan swasta serta merakyatkan penyampaian perkhidmatan.

Beliau berkata agenda itu mempunyai sasaran dan tempoh pelaksanaan yang jelas, namun yang penting bukan jumlah pencapaian yang disenaraikan tetapi dampak kepada rakyat. 

"Jika ia (reformasi) tidak sampai kepada golongan sasar dan rakyat tidak merasai kesan daripada apa yang dilakukan, ia tidak bermakna," katanya.

Shamsul Azri berkata agenda reformasi itu tiada tarikh tamat sebaliknya ia proses penambahbaikan berterusan. 

"Kita ada struktur asas dan garis panduan apa yang kita nak buat supaya tidak tersasar tetapi yang penting dalam reformasi kena ada ‘roh’," katanya.

Satu daripada penambahbaikan utama dalam reformasi perkhidmatan awam adalah penguatkuasaan Akta Iltizam pada awal tahun ini yang mewajibkan semua undang-undang dan peraturan lapuk yang menyusahkan rakyat dikaji semula setiap tiga tahun.

Beliau turut menegur penjawat awam supaya tidak terlalu selesa sehingga gagal melaksanakan tugas dengan baik dan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat serta pegawai baharu perlu dibentuk supaya melihat kerjaya dalam perkhidmatan awam bukan sekadar tempat menerima gaji setiap bulan, tetapi sebagai satu amanah dan tanggungjawab kepada negara dan masyarakat.

"Yang penting adalah memperkasakan diri dan jiwa setiap pegawai. Reformasi dan penambahbaikan itu bermula daripada seorang insan kemudian kepada kumpulan seterusnya satu unit dalam pentadbiran, sebuah bahagian, komuniti, kementerian dan akhirnya ke satu negara. Semua ini bermula dengan seorang insan yang diperkasakan jiwanya dengan nilai-nilai murni," katanya.

Beliau berkata pelbagai program nilai melalui bimbingan dan latihan dilaksanakan termasuk program Malaysia MADANI dan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) supaya pegawai memiliki jiwa yang utuh agar mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sentiasa mengkaji dan menilai setiap organisasi bagi tujuan penambahbaikan khususnya dalam aspek kenaikan pangkat dan pembangunan kerjaya penjawat awam, namun cabaran utama adalah kekangan kewangan.

Beliau menjelaskan bahawa apabila kerajaan mengumumkan kenaikan gaji di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), implikasi kewangan kepada kerajaan mencecah RM18 bilion.

Walaupun begitu, proses semakan dan penambahbaikan tetap dijalankan dari semasa ke semasa melalui mesyuarat bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, termasuk meneliti langkah penstrukturan organisasi dan merangka tindakan yang sesuai.

"Kita sentiasa memikirkan cara untuk menambah peluang kenaikan pangkat dari masa ke masa, meneliti jawatan yang dilihat 'stagnant', (iaitu) peluang kenaikan pangkat terlalu sukar dan akan berusaha menambah baik keadaan ini," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan