Ad Banner
 AM > BERITA

Penjawat Awam Perlu Jadi Penyampai Baik Di Media Sosial - KSN

12/08/2025 03:57 PM

PUTRAJAYA, 12 Ogos (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengingatkan bahawa penjawat awam perlu menjadi penyampai mesej yang baik di media sosial dengan mengutamakan perkongsian positif yang memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

Menyifatkan cabaran besar dalam menangani media sosial, beliau menegaskan ia tidak seharusnya disalahgunakan untuk mengutuk atau memfitnah pihak lain, sebaliknya dimanfaatkan untuk menyebarkan nilai yang baik, maklumat reformasi dan kejayaan perkhidmatan awam.

"Gunakan media sosial untuk kebaikan. Kita ada 1.3 juta penjawat awam dan (kalau) semua berkongsi dalam media sosial mereka tentang reformasi (perkhidmatan awam), nilai yang ada dalam pentadbiran awam dan mengajak rakyat membuat kebaikan, itu lebih baik daripada kita kutuk orang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi "Reformasi Satu Kemestian" Bersama KSN sempena setahun reformasi perkhidmatan awam di sini hari ini.

Shamsul Azri turut pengingatkan penjawat awam agar mematuhi Peraturan 19 dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 yang melarang pegawai membuat kenyataan awam yang bercanggah dengan dasar kerajaan.

Beliau turut memberi peringatan bahawa fitnah terhadap individu di media sosial bukan sahaja menjejaskan reputasi, malah membawa implikasi besar dari sudut agama.

“Jawatankuasa yang memantau media sosial melibatkan penjawat awam juga mendapati ramai penjawat awam kadang-kadang terlalu mengikut emosi, tidak dapat mengawal perasaan, lalu menulis sesuatu yang tidak sepatutnya.

"Jadi, saya merayu kepada semua, tulislah (perkara) yang baik-baik (sebab) ia akan memberi ketenangan kepada jiwa kita dan amal daripada kebaikan itu akan berterusan," katanya.

Shamsul Azri juga menegaskan budaya kerja secara silo dalam perkhidmatan awam perlu dihentikan kerana ia merugikan organisasi dan menjejaskan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Beliau berkata budaya silo timbul apabila individu atau jabatan merasakan diri atau unit mereka lebih baik daripada yang lain hingga enggan berkongsi ilmu atau bekerjasama.

"Jadi ini satu cabaran kepada KSN dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) dan semua Ketua Setiausaha (KSU) untuk memecahkan benteng silo," katanya.

Justeru, beliau menyeru seluruh warga perkhidmatan awam menanam niat untuk bekerja dalam satu kumpulan, satu identiti dan satu matlamat demi kebaikan negara dan rakyat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan