KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 204,429 usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan koperasi di seluruh negara menerima bantuan pembiayaan berjumlah RM3.59 bilion dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata dalam tempoh sama, sebanyak 28,687 usahawan dan koperasi turut dilahirkan melalui penyediaan bantuan dan sokongan bersasar.
“Selain itu, 540 usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) telah dibimbing untuk mengembangkan perniagaan ke pasaran global,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bersama warga dan agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan.
Memasuki suku akhir 2025, Ewon berkata KUSKOP perlu terus bersiap siaga, kekal fokus dan meningkatkan kecekapan dalam penyampaian perkhidmatan, selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030) yang meletakkan sasaran untuk menjadikan Malaysia sebagai negara keusahawanan unggul.
Pada 2024, Ewon berkata PMKS merekodkan pertumbuhan 5.8 peratus dengan sumbangan RM652.4 bilion kepada ekonomi negara, selain menyumbang sebanyak 14.3 peratus daripada keseluruhan eksport.
PMKS juga mengupah sebanyak 8.1 juta pekerja, iaitu 48.7 peratus daripada jumlah keseluruhan guna tenaga negara.
Mengenai Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), Ewon berkata KUSKOP akan menumpukan usaha kepada penskalaan PMKS bagi melahirkan entiti perniagaan tempatan yang mempunyai keupayaan daya cipta dan mampu bersaing di pasaran domestik dan global.
Selain itu, KUSKOP akan turut memperkasakan sektor ketiga dengan penglibatan perusahaan sosial, perniagaan inklusif dan koperasi bagi memastikan sektor itu menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi sosial yang terangkum dan mampan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial